KUALA LUMPUR – Perbelanjaan untuk bumiputera dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merupakan antara yang tertinggi pernah diperuntukkan oleh kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di bawah RMK13 menjadi antara contoh komitmen kerajaan dalam memperkasa ekonomi bumiputera.Beliau turut menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan lebih mengutamakan komuniti tertentu berbanding yang lain dalam soal peruntukan."RMK13 ini harus ditelaah oleh kita semua. Jika tidak, timbul dakwaan bahawa peruntukan hanya diberikan kepada Kampung Baru Cina tetapi tiada untuk bumiputera. Ini menunjukkan (pihak yang membuat dakwaan) belum membaca dokumen RMK13."Perbelanjaan untuk bumiputera adalah antara yang tertinggi termasuk untuk pembangunan Rizab Melayu di bandar. Malaysia belum pernah menerima peruntukan sebesar ini sejak merdeka. Hanya Kerajaan Madani yang berani melaksanakannya. Sebelum ini tiada, walaupun pembangkang sering melaungkan perjuangan Melayu," katanya ketika berucap dalam sidang Dewan Rakyat di sini pada Selasa.Menurut Anwar, RMK13 menerusi PuTERA35 memberi tumpuan kepada strategi 3P, iaitu penyertaan yang meluas, pemilikan yang bermakna dan penguasaan dalam sektor strategik."PuTERA35 telah mencerminkan langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam memperkasa ekonomi bumiputera."Namun begitu, pendekatan ini tidak mengenepikan hak masyarakat lain seperti Cina, India, Orang Asli serta etnik Sabah dan Sarawak," jelasnya.Tegasnya, keutamaan tetap diberi kepada majoriti rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup, dan majoriti miskin di negara ini masih dalam kalangan bumiputera."Sebab itu kita lahirkan PuTERA35 yang mencerminkan pendekatan lebih menyeluruh dan lebih besar daripada apa yang pernah dilakukan sebelum ini, demi mengangkat martabat bumiputera," katanya.Anwar turut menyeru semua ahli Parlimen agar memahami dasar-dasar kerajaan secara mendalam sebelum membahaskannya di Dewan Rakyat.Dalam perkembangan sama, beliau mempertahankan strategi pengurusan hutang oleh Kerajaan Madani yang menurutnya digunakan secara bertanggungjawab untuk tujuan pembangunan dan bukan bagi perbelanjaan mengurus."Kita tidak meminjam untuk belanja mengurus. Kita meminjam dalam jumlah yang dikurangkan dan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan."Kenapa? Kerana keadaan sekolah, hospital, kawasan luar bandar, serta zon terdedah banjir yang perlu diberi perhatian segera," jelasnya.Tambah beliau, kadar hutang negara masih terkawal meskipun pelbagai pihak mengemukakan angka berbeza.