Tiada sebarang persetujuan bangunkan bersama Laut Sulawesi

SHAH ALAM - Tiada sebarang persetujuan dimuktamadkan antara Malaysia dan Indonesia setakat ini berhubung kebarangkalian pembangunan bersama di Laut Sulawesi.Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa perkara tersebut masih berada di peringkat perbincangan awal.Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan telah diperjelaskan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Rakyat pada 5 Ogos 2025 bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen."Mohamad turut menegaskan bahawa penggunaan sebarang istilah mestilah tepat dan mencerminkan kedaulatan serta hak perundangan Malaysia ke atas kawasan berkenaan."Malaysia kekal komited dalam melindungi kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingannya selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (KUUL 1982)."Sebarang perbincangan berhubung perkara-perkara di atas dilaksanakan melalui mekanisme diplomatik, berasaskan perundangan dan teknikal yang ditetapkan di bawah kerangka dua hala sedia ada," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Tambahnya, Kementerian Luar Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Sabah bagi memastikan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara dan dilindungi.Ujarnya, Malaysia merujuk kepada kawasan maritim yang merangkumi Blok ND6 dan ND7 yang terletak dalam Peta Baru Malaysia 1979 sebagai Laut Sulawesi dan bukan ‘Ambalat’ seperti yang digunakan oleh Indonesia."Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2002 yang memutuskan kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia turut mengukuhkan lagi pendirian Malaysia ke atas kawasan maritim negara di Laut Sulawesi," katanya.