PENYANYI muda dari seberang, Fajar Noor tidak melatah apabila berdepan fasa sukar dalam kerjaya seninya, termasuk apabila sebahagian peminat mula menjauh dan jumlah pengikut di media sosialnya menurun.Menyifatkan situasi itu sebagai lumrah yang harus dilalui setiap insan seni, peserta program realiti Indonesian Idol itu memilih untuk kekal tenang dan meneruskan langkah dengan penuh rasa tanggungjawab."Saya jalani macam manusia biasa saja. Teruskan hidup dan terima apa sahaja yang dikatakan orang. Kita pun manusia, pernah buat salah. Jadi sekarang saya perbaiki diri dan terus hasilkan karya," katanya.Pemilik nama penuh Fajar Nurdiansyah, 21, berkata demikian ketika ditemui pada majlis promosi single baharunya Tahta Hatiku #Pendampingmu di pejabat Universal Music Malaysia, Petaling Jaya pada Selasa.Fajar berkata, pengalaman ‘cancel culture’ oleh sebahagian peminat bukan alasan untuk berhenti, sebaliknya menjadi dorongan untuk memperkukuh asas kerjayanya melalui muzik dan penulisan lagu."Saya tidak kecewa. Saya ini orangnya okay saja. Apa yang berlaku itu sebahagian daripada proses untuk jadi lebih baik."Lagipun mereka (peminat) hanya nampak dari media sosial sahaja. Mereka bebas nak beri pendapat sebab mereka pun manusia," jelasnya.Sikap Fajar yang enggan terlalu mengambil peduli pandangan luar turut menjadi kekuatan peribadinya, lebih-lebih lagi apabila gosip cinta lokasi atau ‘cinlok’ kembali dikaitkan dengannya.Mengulas hubungan yang pernah terjalin ketika menyertai pertandingan tersebut, Fajar memilih untuk tidak membuka kisah silam."Ya, pernah… tetapi itu masa lalu. Sekarang saya berdiri atas nama sendiri. Saya tidak mahu fikir soal cinta dulu, lebih baik fokus pada muzik," ujarnya ringkas.Ketika ditanya sama ada dia akan lebih berhati-hati selepas melalui beberapa kontroversi, Fajar dengan tenang menjawab bahawa keutamaannya kini hanya pada muzik."Saya masih saya. Saya tidak mahu fikirkan benda lain. Fokus saya satu iaitu berkarya," tegasnya.Dalam masa sama, pelantun lagu Menjaga Hati itu menegaskan bahawa dia selesa berdiri atas karya sendiri tanpa bergantung kepada gimik atau kontroversi murahan untuk mencipta nama."Kalau orang nak cakap apa pun, saya okay. Saya tetap teruskan jalan saya. Itu tanggungjawab saya sebagai anak seni. Tenang," katanya sambil tersenyum.Pada Jun lalu, Fajar terpalit kontroversi apabila juara Indonesian Idol 13, Shabrina, berkongsi sebuah video berbentuk time-lapse menunjukkan dia sedang menata rias wajah Fajar sebelum bertindak mencium penyanyi itu.Tidak terhenti di situ, Fajar turut didakwa berlaku curang apabila mempunyai hubungan cinta bersama pelakon Indonesia, Amanda Lucson ketika masih menjalinkan hubungan dengan Shabrina.Susulan itu, peminat menyatakan protes kerana kecewa dengan tindakan penyanyi tersebut sehingga jumlah pengikut Fajar menurun lebih 20,000.