KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dikenakan tindakan atau sebaliknya kerana menyentuh isu rusuhan kaum 13 Mei 1969 dalam sidang Dewan Rakyat akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.Johari berkata, beliau telah menerima usul daripada RSN Rayer (PH-Jelutong) supaya merujuk Awang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen."Ya saya dah dapat surat itu, bagi masa sikit," katanya kepada Rayer sewaktu perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Selasa.Rayer ketika mencelah selepas perbahasan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) menggesa Johari membuat keputusan terhadap Awang."Semalam saya juga telah masukkan satu usul di bawah 36 (9C) rujuk (ahli Parlimen) Pendang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Mohon tindakan tegas," ujarnya.Pada Isnin, Dewan Rakyat kecoh selepas Awang memberi peringatan kepada kerajaan mengenai rusuhan kaum 13 Mei 1969 dengan mendakwa tiada pelan spesifik buat bumiputera dalam RMK13.Awang bertanya kenapa tiada sebarang pelan spesifik untuk kaum bumiputera semasa membangkitkan mengenai adanya rancangan khusus kepada Kampung Baru Cina dalam RMK13.Susulan itu, Rayer yang tidak puas hati meminta Timbalan Speaker, Alice Lau mengarahkan Awang menarik semula kenyataannya.