SHAH ALAM - "Mengapa saya atau anak-anak saya perlu mengaku sesuatu yang tidak benar?"Itu kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan beliau dan anak-anak tidak pernah mengisytiharkan memiliki kekayaan berjumlah RM1.2 bilion atau RM4 bilion seperti didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan pihaknya mengisytiharkan kekayaan Tan Sri Mokhzani bernilai RM1 bilion dan kekayaan Mirzan berjumlah RM246.2 juta serta SPRM berpuas hati dengan pengisytiharan itu."Anwar menyatakan di Jakarta,"...tetapi jika mereka sendiri mengaku, bukan sebagai satu tuduhan tetapi satu pengakuan bahawa ‘Saya (Mahathir) atau anak saya memiliki RM1.2 bilion dan seorang lagi RM4 bilion’, maka wang itu mesti dipulangkan. Anda mesti bayar balik, kecuali anda boleh jelaskan dengan jelas dari mana datangnya dana tersebut"."Saya tidak pernah mengaku dan saya sudah jelaskan dari mana datangnya kekayaan saya. Dari mana beliau dapat semua angka dan kenyataan ini?"Ketua Pesuruhjaya SPRM telah menjalankan siasatan penuh dan menyatakan Mokhzani mengisytiharkan aset berjumlah sekitar RM1 bilion manakala Mirzan mengisytiharkan RM246.2 juta kepada SPRM," katanya menerusi hantaran bertajuk 'Penipu paling hebat' di Facebook pada SelasaBeliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar di sebuah portal tempatan yang mendesak anak Dr Mahathir perlu pulangkan kekayaan jika sumber tidak dapat dibuktikan.Tambah Mahathir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut menyatakan pihaknya berpuas hati dengan pengisytiharan dibuat Mokhzani dan Mirzan.Ujarnya, Azam Baki tidak bercakap tentang wang tunai sebaliknya perihal nilai kekayaan kedua-duanya."Ini terdiri daripada harta, saham, liabiliti dan lain-lain yang diperoleh hasil lebih 20 tahun menjalankan perniagaan. Aset seperti ini akan meningkat nilainya dari masa ke masa."Adakah Azam Baki berpuas hati tanpa mengetahui sumber kekayaan itu?"SPRM telah menyoal siasat anak-anak saya berkali-kali, setiap kali selama beberapa jam. Adakah SPRM bertanya tentang sumber kekayaan seperti yang diisytiharkan?"SPRM tidak pernah menyatakan bahawa sumber kekayaan tersebut 'tidak jelas atau tidak sah'. SPRM dan Azam Baki tidak boleh menyatakan bahawa mereka berpuas hati 'jika pengisytiharan itu tidak jelas atau tidak sah'," katanya.Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kenyataan Anwar yang didakwa seolah-olah menuntut agar beliau dan anak-anaknya menjual semua harta yang dimiliki serta menyerahkan hasilnya kepada kerajaan."Atas dasar apa beliau membuat tuntutan sedemikian," soalnya.Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir turut menegaskan demonstrasi besar-besaran yang berlangsung pada 26 Julai lalu bukanlah untuk menyokong beliau atau anak-anaknya sebaliknya merupakan isyarat jelas rakyat sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Anwar.Menurut beliau, kemarahan rakyat berpunca daripada pelbagai kesusahan dan tekanan hidup yang mereka alami sepanjang pentadbiran Anwar sebagai Perdana Menteri."Mengenai demonstrasi pada 26 Julai, ia bukan bertujuan menyokong saya atau anak-anak saya."Rakyat sedang meminta Anwar berundur. Mereka tidak mahu beliau kerana jawatan Perdana Menteri yang disandangnya kini telah membawa banyak kesengsaraan kepada rakyat."Jika beliau tidak percaya rakyat tidak mahukan beliau sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum."Bukan ahli Parlimen yang berdemonstrasi. Maka usul di Parlimen tidak relevan," katanya.