SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam keterangan tiga individu dipercayai pempengaruh berhubung penyebaran video yang memaparkan mereka memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.SKMM memaklumkan bahawa sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut itu telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor pada Selasa."Kandungan tersebut dipercayai bersifat jelik melampau dan mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan warganet, selain menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini."Justeru, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Terdahulu, SKMM memulakan siasatan susulan aduan orang ramai berhubung penyebaran video yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.Ia susulan tindakan tiga remaja terbabit yang didakwa memberi makanan berisi nasi bersama sisa tulang ayam kepada gelandangan dalam satu rakaman video tular, sebelum mereka tampil memohon maaf atas tindakan tersebut.Menurut suruhanjaya itu, sebanyak tiga telefon bimbit dan tiga keping kad SIM turut disita bagi membantu siasatan.SKMM akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif literasi digital melalui Kempen Internet Selamat (KIS) bagi membentuk masyarakat yang celik digital, beretika dan bertanggungjawab."Inisiatif tersebut turut menyemai budaya penciptaan kandungan yang berhemah, beretika dan beradab, selain meningkatkan kesedaran terhadap nilai-nilai murni dalam ekosistem digital negara," tambahnya.