PETALING JAYA – Pihak pembelaan memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini bahawa Zaim Ikhwan Zahari tidak akan dipanggil untuk memberikan keterangan dalam prosiding bela diri isterinya, Ismanira Abdul Manaf, berhubung kes mengabaikan kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.Semasa prosiding, peguam Haresh Mahadevan memaklumkan bahawa pihak pembelaan hanya memanggil lima saksi bagi membela Ismanira, 30, dengan ibu kepada kanak-kanak autisme itu tampil sebagai saksi pembelaan pertama (SD1).Ia diikuti bapa mentuanya, Zahari Mohd Reba, 57, selaku SD2; SD3, ibu saudara Zaim yang juga anggota polis; dan SD4, rakan baik Ismanira, Umi Syafiqah Rohizal, 30.Pihak pembelaan kemudian menutup kes selepas saksi terakhir, SD5, Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aisyah Rosli, 49, selesai memberikan keterangan."Pihak pembelaan tiada saksi lain dan kami menutup kes hari ini," katanya.Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Haresh berkata, tiada keperluan untuk memanggil Zaim Ikhwan, 30, dalam prosiding tersebut kerana keterangan daripada lima saksi terdahulu sudah memadai.Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan 31 Oktober depan sebagai tarikh keputusan di akhir kes pembelaan.Hujahan bertulis ditetapkan pada 8 September, manakala hujahan balas pada 22 September.Selain Haresh, tertuduh turut diwakili peguam Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, 6 Disember 2023.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Untuk rekod, pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang dan kemudian ditemukan terbaring pada jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.