SEPANG - Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera selepas diseret oleh sebuah kereta sewa haram atau ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini pada Ahad lalu.Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kejadian berlaku semasa pemantauan oleh sepasukan anggota JPJ Selangor yang mengesan seorang lelaki dipercayai melakukan aktiviti ulat teksi dengan menghampiri beberapa individu di kawasan terminal.Katanya, lelaki berkenaan berjaya memujuk dan merayu seorang penumpang untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan."Penumpang itu diminta menunggu di Pintu 3 sementara lelaki terbabit mengambil kenderaannya jenis Mitsubishi Xpander yang diparkir di Pintu 1."Pada kira-kira jam 4.50 petang, anggota pemantauan telah mendekati pintu pemandu kenderaan terbabit dan memperkenalkan diri sebagai anggota JPJ."Namun, pemandu tersebut bertindak memecut kenderaannya, menyebabkan seorang anggota terseret dan terjatuh ke atas jalan hingga mengalami kecederaan di tangan dan lutut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat oleh anggota terbabit.Ujarnya, susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan pemandu berusia lingkungan 30-an tersebut dan dia direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.