Ketua geng samun rumah, premis perniagaan mati berbalas tembakan

KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah yang disyaki ketua geng samun rumah dan pusat perniagaan ditembak mati dalam Ops Api KL 3/2025 di Jalan Bukit Tunku di sini pada Rabu.Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu mempunyai 44 rekod jenayah lampau yang membabitkan kes samun, jenayah kekerasan, dadah dan pecah rumah."Suspek bertindak agresif ketika pihak polis cuba memintas kereta BMW yang dipandunya bagi tujuan pemeriksaan."Suspek turut melepaskan tembakan ke arah polis sehingga memaksa tembakan balas dilepaskan bagi tujuan mempertahankan diri," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini pada Rabu.Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari.Fadil berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek memandu kenderaan BMW dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu."Semakan lanjut mendapati tiada rekod dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan kenderaan itu dipercayai diseludup masuk dari luar negara."Hasil pemeriksaan, kita turut merampas vest polis, sepucuk pistol jenis revolver yang dipercayai digunakan oleh penjenayah, serta beberapa peralatan pecah rumah dan dadah," katanya.Fadil menjelaskan, kumpulan tersebut dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tahun lalu."Kumpulan penjenayah yang terdiri daripada belasan individu itu menyasarkan kediaman persendirian atau rumah yang mempunyai peti keselamatan, sebelum melarikan jongkong emas dan wang tunai."Pada masa ini, semua elemen JSJ di Kontinjen Kuala Lumpur, Selangor dan Perak sudah digerakkan bagi memburu serta mengesan saki-baki suspek," katanya.