DALAM pergelutan rumah tangga yang berakhir di kamar mahkamah, wanita sering menjadi pihak paling terkesan terutamanya apabila mereka bergantung sepenuhnya kepada suami dari segi kewangan.Justeru, kewujudan peruntukan nafkah sementara dalam undang-undang syariah menjadi benteng perlindungan yang bukan sahaja memberi ruang bernafas malah mengembalikan hak dan maruah seorang isteri.Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, nafkah sementara menjadi sinar perlindungan dan keadilan buat isteri yang tidak bekerja atau tiada sumber pendapatan sementara menunggu kes induk nafkah diselesaikan di Mahkamah Syariah.Nafkah sementara itu diperuntukkan di bawah Seksyen 70 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) yang terpakai di Wilayah Persekutuan, manakala negeri-negeri lain tertakluk di bawah Seksyen 71 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam masing-masing.Beliau berkata, perintah tersebut boleh dikeluarkan oleh mahkamah terhadap suami sekiranya mahkamah berpuas hati bahawa terdapat alasan yang munasabah dan mencukupi bagi isteri menerima nafkah menurut Seksyen 70(1).Menurutnya, nafkah sementara berperanan membantu kelangsungan hidup isteri sepanjang tempoh perbicaraan yang lazimnya memakan masa antara enam hingga tujuh bulan.Nafkah sementara bukan hanya alat sokongan kewangan, tetapi manifestasi kepada prinsip keadilan, belas ihsan dan tanggungjawab dalam Islam.Dalam suasana masyarakat yang semakin sedar akan hak dan maruah wanita, langkah menyediakan saluran undang-undang seperti ini perlu terus diperkukuh agar isteri yang dizalimi tidak terus terpinggir dan agar proses kehakiman tidak menjadi medan penderitaan berpanjangan.Sebagaimana namanya, nafkah sementara adalah sinar harapan di tengah kabus rumah tangga yang retak dan wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang memerlukan dengan bimbingan pihak berwajib serta sistem sokongan undang-undang yang berkesan.Dari sudut sosial, peruntukan ini secara langsung menyumbang kepada pengurangan kadar kemiskinan dalam kalangan wanita bercerai atau berpisah serta mengurangkan risiko eksploitasi, kehilangan tempat tinggal atau paksaan kembali kepada hubungan toksik kerana desakan kewangan.Selain itu, dalam kebanyakan kes, isteri turut menjaga anak-anak sepanjang tempoh perbicaraan. Nafkah sementara secara tidak langsung melindungi kesejahteraan anak-anak, memastikan keperluan asas mereka terus terjaga.Dengan adanya nafkah sementara juga, isteri boleh merancang masa depan dengan lebih tenang sama ada dari segi pekerjaan, tempat tinggal, pendidikan anak atau tindakan undang-undang seterusnya.Tanpa nafkah sementara, sesetengah isteri mungkin dipaksa kembali kepada hubungan toksik kerana kesempitan hidup.Peruntukan ini memberi mereka kekuatan untuk berdiri atas hak sendiri, tanpa tekanan kewangan yang memaksa kompromi terhadap maruah dan keselamatan diri.Lebih daripada itu, ia menandakan bahawa sistem kehakiman syariah bukan sahaja bersifat menghukum, tetapi juga menjaga kebajikan dan memberikan peluang hidup bermaruah kepada golongan yang memerlukan.Maka, peranan nafkah sementara adalah amat kritikal sebagai penyambung kehidupan dan kestabilan wanita sewaktu menanti penyelesaian penuh daripada mahkamah.