MELAKA - Derita seorang remaja perempuan yang menjadi mangsa pemuas nafsu bapanya sejak 10 tahun lalu akhirnya terbongkar setelah dia menceritakan perbuatan terkutuk itu kepada ibunya pada Sabtu lalu.Mangsa yang kini berusia 18 tahun dan bekerja sebagai jurujual dipercayai dirogol bapanya yang bekerja sebagai mekanik sejak dia berusia lapan tahun lagi.Sumber berkata, mangsa yang merupakan anak sulung daripada enam beradik mendakwa terpaksa merahsiakan perbuatan jijik bapanya sejak sekian lama kerana diugut oleh suspek yang mahu memukulnya, selain mengancam untuk merogol adik-adiknya yang lain.Menurutnya, setelah ibu kandung mengadu bahawa bapanya tidak lagi memberikan wang belanja anak-anak sehingga menyebabkan wanita itu terpaksa keluar dari rumah bersama lima adik mangsa, barulah gadis itu mendapat keberanian untuk menceritakan rahsia yang selama ini dipendamnya seorang diri."Ketika itu ibunya meminta mangsa untuk terus tinggal dengan suspek setelah wanita itu menyatakan hasrat untuk meninggalkan suaminya."Mangsa bukan sahaja enggan namun terus menangis mengenangkan nasibnya yang selama bertahun menjadi pemuas nafsu bapa sejak dia berusia lapan tahun lagi," katanya.Tambahnya, mangsa mendakwa dia baru dipaksa memuaskan nafsu bapanya kira-kira jam 9 malam di rumah mereka pada minggu lalu."Mangsa memberitahu bahawa dalam kejadian terbaharu itu, bapanya melakukan perbuatan keji tersebut ketika pengadu sedang berkemas untuk melarikan diri bersama lima adiknya," katanya lagi.Tambahnya, pengadu kemudian membawa kesemua enam anaknya ke Kuala Lumpur dan menumpang sementara di rumah adik-beradik sebelum membuat laporan polis pada Ahad lalu."Suri rumah itu turut mendakwa suaminya sering memukul anak-anak sehingga menyebabkan mereka cedera parah, namun tidak membuat laporan polis kerana diugut oleh suspek," ujarnya.Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan berhubung kes tersebut dan suspek telah ditahan."Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan," ujarnya lagi.