Penjaga kaunter muzium mengaku tidak salah amang seksual kanak-kanak Korea

GEORGE TOWN - Seorang pekerja muzium didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan warga Korea Selatan di sebuah hotel, Julai lalu.Tertuduh, Chong Khay Tee, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon di Mahkamah Sesyen 2.Menurut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai penjaga kaunter di muzium tersebut didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh kemaluan mangsa yang berusia enam tahun.Kesalahan itu didakwa dilakukan di Muzium Teddy Besar, Hotel DoubleTree Resort by Hilton di sini, kira-kira jam 4 petang pada 31 Julai lalu.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jung Keong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.Tertuduh yang hadir memakai jersi berwarna ungu mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu.Dalam pendakwaannya, Jung Keong menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta mencadangkan beberapa syarat tambahan."Saya memohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa atau mengganggu saksi pendakwaan."Selain itu, pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sekiranya ada sehingga kes selesai," katanya.Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya hanya memohon agar jumlah jaminan dikurangkan."Saya tak tahu nak cakap apa. Saya minta jaminan kurang saja," katanya dengan nada bingung.Hakim kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.Kes ditangguhkan ke 6 Oktober ini bagi proses serahan dokumen dan pelantikan peguam.