KUALA LUMPUR - Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung pencalonan Kampung Baru Cina di Malaysia sama ada di peringkat nasional atau pengiktirafan di peringkat UNESCO sehingga kini.Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN) berpandangan bahawa usaha pencalonan Kampung Baru Cina di Malaysia sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO memerlukan kajian lebih mendalam sebelum diangkat bagi tujuan pencalonan.Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JWN sentiasa berusaha dan memberi perhatian terhadap khazanah warisan negara."Ia dibuat melalui pewartaan dan pengiktirafan ke atas seni budaya dan tapak bersejarah di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan pengiktirafan diperingkat antarabangsa seperti UNESCO."Selain itu juga, persetujuan daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) perlu diperolehi sebelum usaha pencalonan dimulakan. Ini kerana perancangan dan pembangunan bagi satu-satu kawasan adalah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dengan penglibatan beberapa agensi lain di peringkat Persekutuan dan Negeri."Antaranya seperti PLANMalaysia, Pejabat Tanah dan Galian serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mana pihak PBN dan PBT perlu bersedia untuk mematuhi garis panduan ketat yang telah ditetapkan oleh pihak UNESCO," katanya dalam jawapan bertulis yang di laman web Parlimen.Ia bagi menjawab soalan lisan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang bertanyakan tentang pendirian kerajaan berkenaan cadangan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Warisan Negara bagi memastikan cadangan tapak warisan memenuhi kriteria sejarah negara.Tambah King Sing, pencalonan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO juga perlu memenuhi kriteria ketat yang telah ditetapkan oleh pihak UNESCO.Jelasnya, ia termasuklah dari segi pengenalpastian Outstanding Universal Value (OUV), keaslian, integriti, pengurusan tapak dan lain-lain."Proses mendapatkan pengiktirafan ada kalanya boleh menjangkau sehingga lebih 10 tahun seperti lain-lain tapak di Malaysia bagi memastikan ketersediaan maklumat bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh UNESCO."Antara tindakan yang dilaksanakan oleh JWN bagi memastikan tapak warisan memenuhi kriteria sejarah negara adalah dengan menjalankan penyelidikan secara terperinci bagi membuktikan kebenaran dan pengesahan fakta yang berkaitan supaya tidak berlaku kekeliruan dan timbulnya isu di kemudian hari."Sebelum dipertimbangkan untuk pewartaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), Jawatankuasa Pakar Warisan berkaitan dan Majlis Warisan Kebangsaan akan dirujuk terlebih dahulu bagi tujuan penetapan tapak warisan tersebut," katanya.