SHAH ALAM - Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Sabah pada 1 hingga 3 Ogos baru-baru ini mencatat sambutan luar biasa.Lebih-lebih lagi, rekod kehadiran pengunjung muda yang memeriahkan reruai e-sukan di segmen Agro Millenia yang diuruskan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang mencecah hingga 5,000 pengunjung.Menurut Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin, tarikan seperti aktiviti dan interaktif, cabutan bertuah serta suasana moden dengan elemen visual di skrin LED bersaiz besar menjadikan ruang e-sukan menjadi tarikan utama kepada pengunjung muda sepanjang tiga hari HPPNK 2025."Antara hadiah yang disediakan termasuk motosikal, skuter elektrik, wafer syiling emas dan jam tangan. Kami juga adakan jualan Happy Hour dengan hadiah patung Capybara eksklusif untuk pembeli minuman jenama Peladang di reruai NAFAS," katanya menerusi satu kenyataan. Tambah beliau, NAFAS memberi fokus kepada pendekatan pameran interaktif dan pengisian yang mendekatkan anak muda dengan sektor agromakanan melalui pertandingan Mobile Legends, permainan realiti maya (VR), PlayStation 5 (PS5), arked dan kuiz digital Kahoot.Melihat kepada sambutan positif pada HPPNK 2023 di Perak, NAFAS sekali lagi meneruskan kolaborasi strategik bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) di segmen ini dengan menambah variasi permainan yang terbukti berjaya menarik sambutan pengunjung di Sabah.Kukuhkan Baja Super Peladang Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa NAFAS berjaya mencatat kutipan jualan produk jenama Peladang yang merangkumi baja, input pertanian dan minuman jenama Peladang yang mencecah RM80,000 sepanjang tempoh penganjuran."NAFAS memperkenalkan varian dan wajah baharu Baja Super Peladang pada HPPNK 2025 dan selepas pelancaran, produk ini terus mendapat sambutan memberangsangkan dengan peningkatan tempahan daripada pengguna," jelasnya.Pelancaran produk baharu itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar yang memuji usaha NAFAS memperkenalkan inovasi baja kompak selari dengan keperluan pasaran semasa.Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB), Zalifudin Md Arshad, antara varian baharu ialah Super Ultra K berasaskan mono ammonium phosphate (MAP) serta Super 45D dan Super 16 berasaskan sulphate of potash (SOP) yang disasarkan untuk tanaman memerlukan kawalan klorin."Ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh jenama Baja Super Peladang sebagai produk tempatan berkualiti tinggi yang diyakini para petani di seluruh negara."Ia juga mencerminkan komitmen NAFAS dalam menghasilkan produk tempatan berkualiti tinggi dan meningkatkan profesionalisme dalam sektor pertanian," ujarnya.OD Esports juara e-sukanNAFAS yang merupakan antara penaja utama edisi ke-50 HPPNK dan penglibatannya kali ini menyaksikan pendekatan menyeluruh merangkumi pembangunan industri, penglibatan anak muda dan pengukuhan jaringan strategik khususnya di Sabah.Acara Mobile Legends NAFAS NEKMAT turut menjadi tumpuan apabila pasukan OD Esports dari Papar muncul juara sekali gus menewaskan 42 pasukan lain dan membawa pulang wang tunai RM4,000, piala serta sijil.Naib juara dirangkul pasukan Sonic The Hedgehog dari Kota Kinabalu dengan hadiah RM2,000, manakala Stark Origin dan Sonic Esports X masing-masing meraih tempat ketiga dan keempat.Peserta OD Esports, Adrian Adlie Ku, 21, berkata, kejohanan tersebut memberi ruang kepada anak muda Sabah menyerlahkan bakat dan memupuk semangat pasukan."E-sukan dapat memberi manfaat kepada saya dan empat rakan. Kami kenal antara satu sama lain menerusi permainan Mobile Legends sebelum ini dan mula menjadi satu pasukan sejak tahun lalu."Dengan penyertaan ramai anak muda dalam kejohanan besar seperti ini, kami dapat berkongsi pengalaman dan teknik bermain supaya menjadi lebih mahir," kongsinya.Pengurus pasukan Sonic The Hedgehog, Daniel France, 32, pula berharap, penganjuran e-sukan dapat diteruskan dan diperluas bagi membina bakat muda dalam industri digital Sabah.Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, acara e-sukan bukan sekadar hiburan, tetapi satu cara untuk merapatkan anak muda dengan sektor pertanian melalui pendekatan yang segar dan inklusif."Sambutan yang diterima juga amat menggalakkan dengan penglibatan aktif peserta muda dari pelbagai daerah di negeri Sabah," katanya ketika melancarkan Esports 2.0 NAFAS-NEKMAT.Menurutnya, selain e-sukan, segmen Agro Millenia turut menawarkan pelbagai pameran teknologi terkini dan ruang interaktif yang memberi peluang kepada golongan muda untuk lebih memahami potensi dalam bidang agromakanan.