BATU GAJAH - Taktik licik satu sindiket menyalahgunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dengan menjalankan aktiviti pemindahan gas secara haram terbongkar dalam satu serbuan di Kawasan Perindustrian Bemban di sini pada Selasa.Serbuan menerusi Op Gasak sekitar jam 6.30 petang itu membawa kepada penemuan 1,899 tong LPG yang digunakan bagi tujuan ‘decanting’ iaitu proses memindahkan gas daripada tong 14 kilogram (kg) bersubsidi ke tangki lain.Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, premis yang beroperasi sejak sebulan lalu itu tidak memiliki sebarang dokumen yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk menjalankan sebarang urus niaga berkaitan barang kawalan.Menurutnya, modus operandi sindiket tersebut dipercayai membeli tong gas subsidi 14kg daripada pemborong di sekitar Perak dan luar negeri sebelum memindahkan kandungan gas tersebut ke dalam tangki lain untuk dijual kepada pelanggan industri bagi tujuan komersial."Harga subsidi bagi LPG adalah sekitar RM1.90 sekilogram berbanding harga siling pasaran RM5 sekilogram."Sindiket ini meraih untung dengan menjual gas itu kepada pihak industri pada kadar sedikit lebih murah daripada harga pasaran tetapi jauh melebihi harga subsidi," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi serbuan di sini pada Rabu.Beliau berkata, tindakan sitaan dilakukan ke atas 1,899 tong LPG termasuk 871 tong berisi dan 1,028 tong kosong dengan anggaran jumlah gas mencecah 18,194 kilogram bernilai lebih RM66,500.Katanya, turut ditahan dalam operasi itu ialah seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang dipercayai pemilik premis serta lima lelaki warga Myanmar berusia antara 25 hingga 45 tahun yang bertugas sebagai pekerja."Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961."Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda hingga RM2 juta," katanya.Kamalludin berkata, operasi kali ini juga antara yang terbesar pernah dijalankan melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya LPG di Perak."Sebelum ini, jumlah sitaan tertinggi melibatkan sekitar 463 tong gas, tetapi kali ini kita berjaya merampas hampir lima kali ganda jumlah tersebut," katanya.