KUALA LUMPUR - Semua projek perumahan berskala besar yang melibatkan sekurang-kurangnya 3,500 unit kediaman perlu mempunyai prasarana pendidikan seperti sekolah dan tadika bagi kemudahan penduduk khususnya golongan berpendapatan rendah, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Beliau berkata, penyediaan sekolah rendah dan menengah merupakan syarat asas yang mesti dipenuhi sebelum kelulusan penuh diberikan kepada projek berkenaan.Menurutnya, semua pihak termasuk pemaju, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan jabatan berkaitan perlu menyelaraskan syarat-syarat tersebut sebagai sebahagian daripada pelaksanaan konsep Madani demi menjayakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)."Semua konsep perumahan besar terutama yang melibatkan 3,500 unit rumah mesti menyediakan prasarana sekolah."Ada sekolah dekat? Ada sekolah menengah, sekolah rendah? Kita nak pastikan (projek perumahan berskala besar) mesti ada sekolah."Saya mahu pastikan, kalau tidak ada sekolah berdekatan, pihak pemaju kena ambil beberapa blok yang ada, lengkap dengan lif khusus untuk dijadikan sekolah bertingkat (vertical school)," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Aman Madani di Bandar Tasik Permaisuri di sini pada Rabu.Terdahulu, Anwar mengumumkan sebanyak satu juta unit rumah mampu milik akan dibina dalam tempoh 2026 hingga 2035 bagi membolehkan seramai mungkin rakyat mendiami kediaman yang selesa dan selamat melalui pelbagai inisiatif.Menurutnya, komitmen tersebut sedang dan akan terus dilaksanakan menerusi projek-projek perumahan di bawah program Residensi Madani, Perumahan Penjawat Awam, Bantuan Bina Baharu Rumah serta Program Perumahan Mampu Milik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pemaju swasta.Dalam pada itu, beliau menambah bahawa pendekatan ‘vertical school’ perlu dipertimbangkan bagi menampung keperluan pendidikan komuniti setempat yang semakin padat, selaras dengan pembangunan pesat kawasan perumahan.Tegasnya, penyediaan tadika dalam bangunan perumahan juga perlu diberi perhatian, mengambil kira jumlah ibu bapa yang berpendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan."Tadika ini untuk bantu keperluan rakyat. Saya dah arahkan supaya tadika itu mesti di dalam bangunan. Kalau dah ada, Alhamdulillah. Tapi kalau belum ada, kena betulkan segera," katanya.Sehubungan itu, Perdana Menteri turut menegur pemaju projek dan perancang bandar agar mengambil tindakan segera dalam memastikan setiap syarat dan keperluan projek dipenuhi.Selain prasarana pendidikan, beliau menegaskan bahawa projek perumahan juga perlu mengambil kira penyediaan kemudahan lain termasuk aspek kesihatan, keselamatan dan pengangkutan awam."Saya harap pemaju beri kerjasama. Saya tidak mahu ganggu. Saya tidak akan membebankan dengan kos tambahan."Ini projek besar yang dilakukan dan saya tak perlu tahu siapa pemajunya. Tidak ada komisen untuk Perdana Menteri atau politiknya," katanya.