Kerajaan kaji model UK, Singapura, Australia, India bagi pelantikan hakim - Azalina

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang melaksanakan satu kajian perbandingan berasaskan bukti terhadap model pelantikan kehakiman di beberapa negara seperti United Kingdom, Singapura, Australia dan India.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian tersebut sedang dijalankan secara inklusif melalui sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan."Ia termasuklah badan kehakiman, Majlis Peguam Malaysia, ahli-ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan blok pembangkang, institusi pengajian tinggi, pakar Perlembagaan Persekutuan, organisasi masyarakat sivil serta melibatkan pandangan awam."Pendekatan ini bertujuan memastikan proses pelantikan dilaksanakan dengan lebih telus, bebas dan selaras dengan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.Beliau menjawab soalan lisan Pang Hok Liong (PH–Labis) yang bertanya sama ada kerajaan bersedia menjadikan kekananan sebagai kriteria utama dalam pelantikan hakim ke jawatan kanan bagi mengelakkan kontroversi setiap kali berlaku pengisian jawatan seperti Ketua Hakim Negara.Menurut Azalina, pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan serta jawatan kehakiman kanan lain adalah tertakluk kepada Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan."Kerajaan sentiasa menghormati pemisahan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan badan kehakiman."Kami akan terus komited dalam memastikan bahawa pelantikan jawatan-jawatan penting negara termasuk Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada," jelasnya.