KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin langkah-langkah awal yang telah dilaksanakan serta perancangan mitigasi yang rapi akan dapat mengurangkan impak negatif pengenaan tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia secara khusus.Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, pada 1 Ogos lalu, Rumah Putih telah mengumumkan Arahan Eksekutif perubahan kadar tarif timbal balas ke atas negara-negara rakan dagangnya termasuk Malaysia pada kadar 19 peratus.Menurutnya, ini merupakan kejayaan buat kerajaan dalam merundingkan kadar tarif timbal balas tersebut kerana ia merupakan satu perundingan yang kompleks dari segi kandungan dan perlu dimuktamadkan dalam masa yang sangat singkat."Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat ialah 13.2 peratus dari keseluruhan eksport Malaysia pada tahun 2024 yang berjumlah RM1.508 trilion."MITI bersama agensinya iaitu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut mengambil langkah-langkah mitigasi bagi menangani impak tarif timbal balas dengan mempelbagaikan pasaran eksport negara."Ini dilaksanakan dengan meneroka destinasi baharu di pasaran bukan tradisional serta memperkukuh rangkaian eksport produk Malaysia, terutamanya ke negara-negara pasaran baharu yang sedang pesat membangun di Asia Tengah, Asia Selatan, Timur Tengah, Benua Afrika dan ASEAN," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang bertanyakan status dan keberkesanan rundingan antara Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat berkenaan pelaksanaan tarif timbal balik dan jaminan kerajaan susulan daripada tempoh ketidakpastian ini supaya tidak akan menjejaskan perdagangan, rantaian bekalan dan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.Tambah Chin Tong, bagi meletakkan kedudukan Malaysia sebagai negara di titik pertengahan penting dalam rantaian bekalan, kerajaan komited untuk meningkatkan daya tahan negara bagi melahirkan syarikat-syarikat teknologi tempatan yang maju dalam sektor-sektor strategik seperti semikonduktor."Perlu ada perubahan pemikiran kerana selama ini syarikat-syarikat kecil dan PMKS dianggap hanya mampu menyokong syarikat gergasi korporat multinasional (MNC) asing."Pemikiran baharu menekankan keupayaan syarikat Malaysia dan potensi mereka untuk menjadi MNC yang berasaskan teknologi yang mampu memainkan peranan besar di persada dunia," jelasnya.Kerajaan juga katanya, komited untuk menerajui usaha transformasi syarikat-syarikat tempatan daripada hanya menjadi pengeluar tahap outsourcing ‘Dibuat di Malaysia’ atau Made in Malaysia kepada tahap ‘Dibuat dengan Teknologi Malaysia’ iaitu Made by Malaysia.Justeru, Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) di bawah Kementerian Kewangan yang bernilai RM25 bilion bertujuan untuk memacu sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) seperti semikonduktor dan peralihan tenaga serta memperkasakan komuniti terpinggir dan membangunkan bakat tempatan.Selain itu, MITI bersama Kementerian Kewangan juga akan memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) pada suku ketiga tahun ini untuk pelaburan dan aktiviti bernilai tinggi.Ia untuk memastikan semua pelaburan menghasilkan manfaat seperti pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia, dan membangunkan ekosistem serta teknologi syarikat-syarikat Malaysia."Bagi memastikan PMKS mendapat manfaat melalui pelaburan domestik dan asing yang baharu dan melalui usaha membina syarikat Malaysia menjadi MNC, kerajaan akan mengkaji kemungkinan memperkasakan syarat-syarat lokalisasi yang dikenakan kepada pelabur asing."Ia bagi mewujudkan ekosistem berdaya tahan di Malaysia yang membolehkan syarikat-syarikat tempatan mendapat hasil limpahan.