ISKANDAR PUTERI – Dua lelaki cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Perodua Myvi di Lebuh Nusajaya arah Gelang Patah, dalam kejadian yang tular di media sosial.Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 5.55 petang pada Selasa."Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta terbabit yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 22 tahun, melanggar motosikal yang sedang bergerak lurus di lorong kiri."Pemandu dipercayai mengalami ‘microsleep’ ketika kejadian. Bagaimanapun, wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan keterangannya telah diambil," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Menurutnya, penunggang motosikal yang merupakan lelaki tempatan berumur 20 tahun mengalami patah paha kanan dan cedera di bahagian tangan."Manakala pemboncengnya iaitu lelaki warga asing berusia 22 tahun turut cedera di kaki dan tangan."Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan," ujarnya.Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menyalurkan maklumat ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) IPD Iskandar Puteri di talian 07-5101322.Sebelum itu tular video berdurasi 23 saat di laman sosial memaparkan insiden berkenaan.