Juruteknik, rakan maut tercampak, SUV langgar pembahagi jalan

KLUANG – Seorang juruteknik dan rakannya maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 68.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada Rabu.Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 8.28 pagi melibatkan SUV jenis Proton X50 yang dinaiki tiga mangsa.Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati SUV terbabit datang dari Johor Bahru menghala ke arah Kuala Lumpur."Sampai di tempat kejadian kenderaan tersebut disyaki telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan di tengah."Kedua-dua mangsa tercampak di bahu jalan sebelah kiri manakala kenderaannya terbabas ke tengah jalan di lorong sebelah kanan," katanya dalam kenyataan.Jelas beliau, pemandu SUV tersebut, G Logharaj yang berusia 21 tahun merupakan seorang juruteknik dan beralamat di Skudai, Johor Bahru cedera parah di kepala dan badan.Menurutnya, penumpang hadapan, S Seelankumar berusia 26 tahun dan tidak bekerja beralamat di Cyberjaya cedera parah di kepala dan badan.Bahrin berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 21 tahun yang duduk di belakang tidak cedera.Tambahnya, kes disiasat bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.