PUTRAJAYA - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) telah terkesan satu video palsu berkaitan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang tular di media sosial.AKPS dalam kenyataan berkata, video berdurasi 18 saat itu dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok."AKPS menegaskan bahawa video tersebut adalah palsu dan dihasilkan melalui teknologi AI atau deepfake."Penghasilan dan penyebaran video tersebut adalah cubaan berniat jahat yang menjatuhkan imej, mencemarkan reputasi, dan menjejaskan integriti Ketua Pengarah AKPS dengan tujuan memanipulasi serta mengelirukan orang ramai," katanya.Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dan sentiasa waspada dengan kandungan yang disiarkan."Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video tersebut. Tindakan menyebar kandungan palsu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998."Walaupun kemajuan teknologi AI amat dialu-alukan, namun penyalahgunaannya secara tidak beretika untuk tujuan memfitnah dan menjatuhkan maruah individu adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali," katanya.AKPS memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menegaskan tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil terhadap individu atau mana-mana pihak yang terlibat dalam penghasilan serta penyebaran video palsu tersebut.