Pertelingkahan mamba, mambang buat Johari ‘sesak nafas’

KUALA LUMPUR - Kekecohan yang berlaku akibat pertelingkahan di Dewan Rakyat membabitkan beberapa ahli Parlimen menyebabkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul terpaksa menghela nafas panjang.Malah, beliau dilihat mengurut dadanya sambil menyebut ‘Allahuakbar’ sebaik sahaja berjaya meleraikan pertelingkahan itu.Kekecohan mula berlaku apabila Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menggunakan perkataan ‘mamba’ yang dikatakan bermaksud ‘kurang keras’ melibatkan enam Ahli Parlimen yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meninggalkan blok pembangkang.Ia kemudiannya membuatkan dua Ahli Parlimen DAP iaitu RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Chong Zhemin (PH-Kampar) bangun dan meminta penjelasan perkataan ‘mambang’ yang dikatakan memberi maksud tidak elok.Suasana menjadi kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen dari blok pembangkang bangun dan menyatakan bahawa ia merujuk kepada perkataan ‘mamba’ bukannya ‘mambang’ sementara pertikaman lidah itu berlangsung selama beberapa minit.Johari kemudiannya berusaha menenangkan keadaan apabila melihat situasi itu berlarutan."Untuk makluman (semua) termasuk Jelutong, kami (orang Kedah) kalau sebut mambang tu ‘girlfriend’. (Contohnya) Eh, mambang lawa nampak? Mungkin di Terengganu, mambang lain. Mungkin di Kelatan juga mambang lain," jelas Johari.Rosol kemudian mencelah, "Ha, dengar Jelutong. Dengar molek-molek, Jelutong."Johari kemudian menyambung penerangannya sambil menegur Rosol."Hulu Terengganu, saya baru sebut. Yang ni saya nak sebut. Maknanya, mambang, mambar, mamba, mambra, saya tak tahu. Jadi, ada daerah menggunakan bermaksud berbeza-beza."Kalau mambang di Kedah, memang mambang lawa. Betul tak? Mambang hebat, mambang cantik. Kalau di Terengganu, mambang, kita tak tahu apa."Jadi, untuk itu, jangan lagi guna perkataan itu. Gunalah perkataan yang standard, Hulu Terengganu. Bila cakap tu, biar sebutir-sebutir keluar. Jadi, saya faham, rakyat pun faham. Kalau tidak, there is a miscommunication. Boleh kan? Setuju kan? Okay, saya nak teruskan," tegasnya.Bagaimanpun, Zhemin bangun mencelah dan meminta agar Rosol menarik balik kenyataannya."Saya faham mambang ada banyak maksud tapi tadi Hulu Terengganu bagi maksud kurang jelas. Dia kata itu kurang keras. Selepas itu, dia membuat sindiran terhadap enam ahli Parlimen."Dan juga, tadi dia baru kata DAP anti-Islam. Saya minta tarik balik," kata Zhemin.Johari bagaimanapun membuat keputusan agar pertelingkahan tersebut ditamatkan."Saya buat keputusan. Case closed. Done," tegasnya.