KUALA LUMPUR – Peguam kepada penyanyi legenda, Datuk Amy Search mengesahkan sudah menghantar notis tuntutan (Letter of Demand, LOD) kepada Shila Amzah berhubung kontroversi yang tercetus antara kedua-dua artis itu bulan lalu.Peguam, Datuk M Reza Hassan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihak Shila menerusi peguamnya telah memberi maklum balas dan memohon masa selama 14 hari bagi mendapatkan arahan lanjut sebelum sebarang respons diberikan."Saya sudah hantar LOD kepada Shila. Peguamnya telah menghantar surat meminta masa untuk mendapatkan arahan lanjut."Jadi, sebarang perkembangan lanjut hanya boleh saya kongsikan selepas tempoh 14 hari atau selepas mereka memberikan jawapan. Semuanya bergantung pada respons pihak Shila nanti," jelasnya ringkas.Setakat ini, tiada butiran lanjut mengenai kandungan LOD tersebut didedahkan dan Amy memilih untuk menunggu tindakan lanjut daripada pihak Shila lagi sebelum membuat sebarang kenyataan tambahan.Terdahulu, kontroversi membabitkan Amy dan Shila mula tercetus apabila penyanyi lagu Patah Seribu itu membuat laporan polis mendakwa dirinya diserang oleh seorang penyanyi lelaki legenda dalam sebuah acara yang disertai mereka berdua, 10 Julai lalu.Shila, atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, turut mengesahkan individu yang dimaksudkan adalah Amy, bapa kepada pelakon Nabila Huda.Bagaimanapun, susulan laporan itu, Amy pula tampil membuat laporan balas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 Julai lalu atas dakwaan Shila telah mencampuri urusan keluarganya.Sehingga kini, Amy juga dilihat memadamkan semua kandungan di akaun Instagram miliknya, mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat dan warganet mengenai tindakan serta keadaan dirinya ketika ini.