Prasarana pendidikan di projek perumahan, pemaju sedia tambah baik pelan

KUALA LUMPUR – Penyediaan prasarana pendidikan sebagai syarat asas bagi setiap projek perumahan berskala besar yang melebihi 3,500 unit wajar difokuskan kepada projek-projek baharu, bukan secara menyeluruh ke atas projek yang telah pun memperoleh kelulusan.Pengarah Danau Lumayan Sdn Bhd, Shahril Reza Shaheen Mirza Habib bagaimanapun berkata, bagi projek yang telah diluluskan, beliau sedia memberi komitmen untuk melakukan penambahbaikan menerusi perbincangan bersama agensi berkaitan.Menurutnya, gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan prasarana lengkap dibangunkan diakui mencerminkan keperluan semasa, terutamanya dengan kekangan tanah yang dihadapi di ibu negara."Saya nampak perkara ini bagus. Tanah semakin terhad, terutama di tengah-tengah Kuala Lumpur. Kalau dahulu sekolah memerlukan keluasan hingga 10 ekar, sekarang kita sudah tidak ada ruang sebanyak itu."Ruang kelas pun sebenarnya sudah melebihi kapasiti. Maka, idea untuk membina sekolah secara vertikal dan meletakkannya di bawah satu bumbung bersama pembangunan perumahan adalah sangat bernas," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Residensi Aman Madani di sini pada Rabu.Anwar sebelum ini menegaskan, penyediaan tadika, sekolah rendah dan menengah adalah syarat asas yang mesti dipenuhi sebelum kelulusan penuh diberikan kepada projek perumahan berskala besar.Ujarnya, semua pihak termasuk pemaju, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan jabatan berkaitan perlu berbincang dan menyelaraskan syarat-syarat tersebut sebagai sebahagian daripada pelaksanaan konsep Madani demi menjayakan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).Sementara itu, mengulas mengenai teguran Anwar terhadap Projek Residensi Aman Madani, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk menyemak semula pelan asal agar dapat memenuhi kerangka Madani.Ujar beliau, pertimbangan akan dibuat bagi memenuhi syarat asas yang diyakini mampu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat setempat dan pembeli akan datang.Sehubungan itu, beliau akan berbincang dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sebelum perjumpaan dengan Perdana Menteri pada Isnin."Kita tengok aspek-aspek seperti sekolah, klinik kesihatan dan juga sebagainya haruslah dibangunkan sejajar dengan pembangunan residensi."Kalau ada ruang, kita boleh bangunkan sekali sekolah di dalam pembangunan ini. Kita akan bincang dan kita akan teliti semula keperluan adanya sekolah di tapak Aman Lumayan (Madani) ini ataupun cukup di kawasan sekitarnya," katanya.