KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan cubaan membunuh dengan menikam seorang anggota polis dan memiliki senjata berbahaya, minggu lalu.Yap Thye Sun, 56, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin.Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa cuba membunuh Koperal Mohd Nazri Sudiman, 35, dengan menikam mangsa di perut menggunakan pisau sehingga menyebabkan kecederaan serius.Tikaman itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan ‘penetrating abdominal wound with evisceration’ iaitu usus terkeluar sehingga mengundang risiko kematian.Kesalahan didakwa dilakukan di tepi jalan pusingan U Jalan Yew, Wangsa Maju di sini pada jam 12.30 tengah hari 31 Julai lalu.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda atau dijel 20 tahun, jika sabit kesalahan.Bagi pertuduhan kedua, Thye Sun didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu pisau berkenaan sepanjang 21.5 sentimeter tanpa alasan yang sah, semasa pemeriksaan polis di lokasi dan masa sama.Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.Semasa prosiding, tertuduh dibawa ke mahkamah tanpa diwakili peguam, tidak membuat sebarang rayuan.Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuan Abdul Latif mencadangkan tertuduh tidak diberi jaminan kerana kes itu termasuk dalam kesalahan serius selain dia berisiko untuk melarikan diri."Kes ini melibatkan kecederaan serius terhadap seorang anggota polis sehingga usus mangsa terkeluar akibat tikaman terbabit," katanya.Hakim, Siti Shakirah menetapkan 2 September depan untuk sebutan semula kes.Pada Khamis lalu, polis menahan seorang suspek selepas menikam mangsa ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di lokasi terbabit.Polis telah merampas senjata berkenaan termasuk tiga plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan berwarna kekuningan yang disyaki dadah.Anggota polis terbabit telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut.