SHAH ALAM – Pemuda MCA mendesak supaya dalang atau penyerang saksi dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan terowong dasar laut Pulau Pinang yang dilaporkan diserang di kediamannya diburu habis-habisan.Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata, usaha itu penting bagi memastikan kes melibatkan mendiang Teoh Beng Hock tidak berulang dan menimpa mana-mana rakyat di negara ini."Saya juga rasa terkejut dengan laporan media yang disahkan oleh Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Jaafar. Ini merupakan isyarat bahawa keselamatan rakyat Malaysia di ambang membimbangkan terutama apabila melibatkan pemimpin politik dan orang kenamaan."Menyentuh tentang kes terowong dasar laut Pulau Pinang yang dikatakan bernilai RM6.3 bilion ini, timbul pelbagai persoalan serius yang masih belum terjawab. Pada 5 Oktober 2021, seorang saksi pendakwaan dalam kes sama ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Tikus. Adakah ia kemalangan atau kebetulan?"Sekali lagi ditegaskan bahawa isu ini sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan keselamatan serta nyawa manusia. Adakah wujud sesuatu yang mencurigakan dalam kes ini?" soalnya menerusi hantaran di Facebook.Sinar Harian pada Rabu melaporkan, seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah diserang oleh sekumpulan individu di kediamannya.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 7.10 pagi.Difahamkan, mangsa yang juga ahli perniagaan didakwa mengalami kecederaan di bahagian mulut dan pergelangan tangan, manakala dua pengawal keselamatannya turut diikat oleh penyerang berkenaan ketika kejadian.Mengulas lanjut, Choo Seong berkata, Malaysia merupakan negara yang mempunyai undang-undang dan sesiapa yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas daripada menerima hukuman sewajarnya.Beliau pada masa sama turut mengajak rakyat tanpa mengira fahaman politik untuk terus memberi kepercayaan dan ruang secukupnya kepada pihak berkuasa, terutama pasukan keselamatan negara, untuk menjalankan tugas."Saya yakin anggota keselamatan negara akan memburu pelaku jenayah sampai ke lubang cacing, seterusnya mengheret pesalah ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal," katanya.