[VIDEO] Perlembagaan NAFAS masih digantung

KUALA LUMPUR - Penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) pada 1 November 2024 masih berkuat kuasa dan kini ditadbir oleh pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang.Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Pendaftar telah melantik Majlis Penasihat NAFAS yang dianggotai oleh lima orang ahli profesional yang berpengalaman dalam bidang tadbir urus serta pengurusan Kerajaan.Menurutnya, mereka berperanan untuk menilai semula setiap aspek pengurusan dan perniagaan NAFAS termasuk subsidiari bagi memastikan tindakan pembetulan bersifat menyeluruh, berasaskan fakta dan menjurus kepada pemulihan institusi secara berstruktur serta berintegriti."Pendaftar Pertubuhan Peladang memantau urusan harian NAFAS, menjalankan siasatan terhadap isu-isu yang dikenal pasti di samping menambahbaik urusan tata kelola NAFAS."Ia bagi memperkasa semula secara menyeluruh NAFAS dan memastikannya beroperasi mengikut hala tuju dan semangat penubuhan."Di antara strategi pembaharuan dan hala tuju dalam menstruktur semula yang sedang giat dilaksanakan adalah reformasi tata kelola; penilaian dan penstrukturan semula tadbir urus; penstrukturan semula syarikat subsidiari; audit pengurusan dan pemantauan berterusan; pengukuhan mekanisme semak dan imbang; penguatkuasaan kod etika dan integriti; mempelbagaikan sumber pendapatan serta pemulihan kepercayaan awam," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) tentang status terkini penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sejak 1 November 2024.Tambah Mohamad, strategi pembaharuan dan hala tuju NAFAS akan dipetakan melalui dokumen ‘Blueprint Penambahbaikan Tatakelola dan Keberdayasaingan NAFAS 2.0’ yang merangkumi lima teras.Teras tersebut meliputi tadbir urus dan kepimpinan organisasi; perundangan dan pematuhan; pengurusan dana dan perolehan; model perniagaan dan kelestarian kewangan; dan sistem pemantauan audit dalaman dan penerbitan.