PAC teliti keberkesanan subsidi, kawalan harga minyak masak

KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sedang meneliti keberkesanan pengurusan subsidi serta mekanisme kawalan harga minyak masak yang memberi impak langsung kepada rakyat dan perbelanjaan kerajaan.Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya juga akan meneliti rantaian bekalan minyak masak dengan memanggil persatuan seperti Persatuan Pekilang-Pekilang Minyak Makan Malaya (MEOMA) dan wakil daripada kilang penapis serta syarikat pembungkus, selain mengadakan lawatan kerja ke kilang-kilang tersebut.Menurutnya, PAC telah memulakan prosiding berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dijalankan pada 5 dan 6 Ogos 2025."Antara saksi yang telah dipanggil ialah Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar; wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Muhyidin Aziz @ Saari dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Makhzan Mahyuddin hadir bagi menggantikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman."PAC mengucapkan terima kasih kepada kementerian dan jabatan atas kerjasama hadir untuk memberi keterangan."Jawatankuasa ini komited untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan perbelanjaan wang rakyat dalam semua aspek pengurusan kerajaan.," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Rabu.Tambah Mas Ermieyati, pada 4 Ogos lalu, PAC telah mendengar taklimat khusus berhubung Perolehan Kerajaan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican.Taklimat tersebut telah memberikan penjelasan menyeluruh kepada PAC mengenai Kaedah Perolehan Kerajaan, Proses Perolehan Kerajaan, Peranan Pihak Berkuasa Melulus (PBM) dan Pelaksanaan Tender Terbuka Pra-Kelayakan Terpilih.Jelasnya, taklimat itu bertujuan membantu Ahli PAC memahami dengan lebih jelas struktur dan amalan perolehan kerajaan yang melibatkan pelbagai agensi dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab Jawatankuasa ini.