PETALING JAYA - Polis mengesahkan kejadian melibatkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang cedera diserang sekumpulan individu di sebuah rumah di Jalan Bukit Gasing pada Rabu merupakan kejadian samun.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya sebelum itu menerima makluman berkaitan kejadian pada jam 7.20 pagi.Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan akibat dilibas parang oleh penyamun terbabit."Siasatan mendapati beberapa orang penjenayah yang bersenjatakan parang dan memakai penutup muka telah memecah masuk rumah dan membawa lari barangan berharga yang disimpan di dalam peti besi."Penjenayah kemudian melarikan diri menggunakan laluan hutan di bahagian belakang rumah mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Katanya, selain mangsa, tiga individu lain turut cedera dalam kejadian ini."Mangsa mengalami kecederaan di bibir dan bengkak di bahagian muka serta luka di tangan akibat libasan parang manakala dua lagi mangsa iaitu pengawal keselamatannya cedera di bahagian muka akibat ditumbuk."Selain itu, pemandu peribadinya turut cedera bahagian muka akibat ditumbuk selain ada kesan merah di tangan akibat diikat oleh kabel tight," katanya.Menurutnya, susulan itu siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan."Siasatan berkaitan kes ini masih dijalankan dan usaha memburu kesemua suspek terlibat sedang giat dijalankan."Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan suspek mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Fandhi Fatullah Abu Bakar di talian 014-630 3090," katanya.Sementara itu Shahrulnizam berkata, kejadian yang dialami mangsa tiada kaitan dengan mana-mana kes mahkamah."Tidak ada kena mengena," katanya ringkas.Sinar Harian sebelum ini melaporkan mangsa yang juga merupakan saksi kes rasuah berkaitan terowong dasar laut Pulau Pinang cedera diserang sekumpulan individu di kediamannya di sini pada Rabu.