KOTA BHARU - Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar yang meninggal dunia di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada 2013 memfailkan saman bagi membolehkan siasatan kematian pelajar itu dibuka semula.Peguam bela, Dr Zulqarnain Lukman berkata, writ saman sivil difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Julai lalu terhadap tiga pihak utama membabitkan Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara serta Pegawai Penyiasat kes.Beliau memberitahu, tindakan undang-undang selepas ibu pelajar berkenaan, Ruhani Hussin, 70, berusaha mencari kebenaran mengenai kejadian itu untuk keadilan anaknya.Dr Zulqarnain mendakwa, selepas lebih sedekad, saksi penting kes itu tidak dipanggil dan fail kes berkenaan dibekukan tanpa tindakan."Allahyarham bukan sahaja seorang penghafaz al-quran malah merupakan pelajar berdisiplin dan cemerlang tetapi meninggal dunia secara mencurigakan di asrama sekolah," katanya pemberita pada Rabu.Dr Zulqarnain turut berharap siasatan akan dibuka semula termasuk memanggil saksi dan suspek disyaki dalam kes berkenaan.Beliau berkata, sebutan pengurusan kes termasuk serahan dokumen akan dilakukan di mahkamah pada 26 Ogos ini.Sementara itu, Ruhani memberitahu, kejadian yang menimpa anaknya itu memberi kesan emosi kepada suaminya, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 80.Sebagai ibu, nalurinya yakin bahawa anak sulung daripada dua beradik itu bukan disebabkan bunuh diri sebaliknya dibunuh selain disyaki dibuli.Justeru, beliau berharap kes berkenaan akan mendapat pembelaan sewajarnya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara telus.Beliau menegaskan mahu pengadilan yang sewajarnya untuk anak lelaki tunggal yang menjadi harapan keluarga.Pada Disember 2013, mayat Wan Ahmad Faris yang juga pelajar Tingkatan Empat ketika itu ditemui mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas.Media sebelum ini melaporkan mayatnya dijumpai penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas itu.Bagaimanapun kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.Bagaimanapun pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Wan Ahmad Faris berpunca daripada perbuatan individu tidak dikenali sekali gus menolak kemungkinan arwah membunuh diri.Susulan keputusan itu, keluarga arwah melakukan pelbagai usaha termasuk menghantar surat rayuan kepada Jabatan Peguam Negara dan PDRM.Selepas itu Ruhani dipetik berkata, menerima surat pada Julai tahun lalu yang memaklumkan kes kematian anaknya diklasifikasikan sebagai 'Tiada Tindakan Lanjut' (NFA) sejak 2020.