Subsidi RON95: Anwar arah SKMM siasat, ambil tindakan

PUTRAJAYA – Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum kenyataan penafian oleh Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penafian terkait dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.Dalam kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan pada Rabu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya."Sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, Perdana Menteri telah mengarahkan SKMM untuk menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya," kata kenyataan itu.Terdahulu, Muhyiddin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Anwar bahawa beliau menyokong pemberian subsidi kepada warga asing, sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai fitnah dan pembohongan yang dilemparkan terhadapnya.Anwar dalam sesi Pertanyaan Menteri pada Selasa meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan bebankan orang asing dalam penyasaran subisidi RON95.Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapa ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing, susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.