Kerajaan teruskan sistem kutipan tol MLFF – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya masih lagi komited untuk melaksanakan sistem kutipan tol secara 'Aliran Pantas Pelbagai Lorong' (MLFF) dalam memastikan keselesaan dan kemudahan kepada pengguna lebuh raya diutamakan.Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihak kementerian telah membentangkan kertas Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu untuk mendapatkan hala tuju baharu berkaitan kaedah pelaksanaan MLFF.Menurutnya, ia selaras dengan penamatan perjanjian pelantikan di antara pihak kerajaan dan syarikat pencadang pada 16 Disember 2024 yang lalu."Hala tujunya adalah, kini peluang terbuka kepada syarikat penyedia perkhidmatan yang berkaitan di luar sana untuk berbincang dan berurusan terus dengan 33 syarikat konsesi lebuh raya bertol sedia ada."Ia bagi memastikan MLFF dapat dilaksanakan dan hala tuju keduanya dilaksanakan tanpa melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu) yang bertanyakan status pelaksanaan sistem kutipan tol MLFF menjelang tahun 2025 dan langkah penambahbaikan sistem seperti RFID bagi memastikan keberkesanan sistem baharu ini.Beliau turut memberi contoh Pro Lintas milik PNB di Plaza Tol Alam Impian, Lebuh raya Kemuning Shah Alam (LKSA)Tambah Ahmad, pihak kementerian melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memantau prestasi lorong RFID sedia ada dengan memastikan syarikat pengendali lebuh raya melaksanakan kerja-kerja penalaan atau fine tuning yang lebih kerap di lorong-lorong RFID.Jelasnya, ia bagi memastikan prestasi sistem di lorong dapat dipertingkatkan, di samping membuat hebahan kesedaran kepada pengguna supaya mempunyai baki yang mencukupi semasa melalui plaza tol."Kerajaan juga telah memperkenalkan kaedah sistem kutipan tol secara pembayaran terbuka (SPT) bagi memberikan pilihan kepada pengguna serta mempertingkatkan kelancaran trafik di plaza tol."Penggunaan RFID sekarang ada 614 lorong di 31 lebuh raya kecuali LPT1 dan LPT2 sementara penggunaan SPT (Secara Pembayaran Terbuka) sekarang ada 341 lorong di 26 lebuh raya"Kedua-dua ini adalah pembaharuan positif kepada kemudahan pergerakan di lebuh raya," ujar Ahmad.Beliau turut menjelaskan bahawa bagi mengelakkan kesesakan, beberapa langkah dibuat iaitu dengan mengaktifkan menggunakan smart lanes atau lorong pintar, PLUS TTA (Travel Time Advisory), pemakluman melalui laman web dan media sosial (CCTV Live) serta penyuraian segera bila kemalangan.