PUTRAJAYA : Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sah menghalang pengundi berdaftar mengundi dalam PRN Johor 2022 atas alasan kuarantin COVID-19. Panel tiga hakim sebulat suara menyatakan SPR melanggar hak perlembagaan R.K. Tamileswaaran untuk mengundi di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Hakim Datuk Wong Kian Kheong berkata SPR melakukan kesilapan undang-undang apabila menafikan hak perlembagaan pengundi tersebut. Beliau menegaskan Mahkamah Tinggi terkhilaf dengan menganggap tanggungjawab SPR tertakluk kepada SOP COVID-19 dan Akta 342. “SOP dan Akta 342 tidak boleh mengatasi tanggungjawab SPR melaksanakan pilihan raya,“ jelas Hakim Wong. Mahkamah mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan SPR dan membenarkan rayuan Tamileswaaran. Tiada pampasan diberikan kerana SPR bertindak atas dasar kesihatan awam dengan niat baik. Hakim Wong menekankan SOP dan peraturan Akta 342 hanyalah undang-undang subsidiari, bukan undang-undang persekutuan. Mahkamah menolak hujahan SPR dan Kerajaan Persekutuan bahawa pertimbangan kesihatan awam mencukupi untuk menolak semakan kehakiman. “Hak mengundi adalah hak perlembagaan, bukan hak statut,“ tegas Hakim Wong. Tamileswaaran mendakwa beliau dihalang mengundi meskipun ujian kendiri negatif dan berada di hari keenam kuarantin. Status MySejahtera berisiko tinggi dan tiada kebenaran Pegawai Kesihatan Daerah menjadi alasan beliau dihalang. Keputusan mahkamah disampaikan secara dalam talian dengan Tamileswaaran diwakili dua peguam. - Bernama