Mara tawar pengajian percuma kepada anak peniaga air balang

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menawarkan pengajian percuma dalam bidang konfeksioneri dan bakeri di GiatMara Klang kepada anak peniaga air balang yang kisah kecekalan hidup mereka tular di media sosial.Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Siti Nur Aliah, 21, akan mengikuti latihan selama enam bulan secara percuma dan turut menerima elaun bulanan sebanyak RM200."Mara juga akan membantu Aliah memulakan perniagaan melalui Geran Perniagaan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berupa mesin dan peralatan membuat roti serta kek bernilai RM6,000."Selain itu, kursus jangka pendek akan ditawarkan bagi mempersiapkan Aliah sebagai usahawan digital yang mampu memanfaatkan platform seperti TikTok untuk berniaga," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.Baru-baru ini, tular kisah bapanya, Ah Yauddin Ahmad, 63, sanggup menggendong isteri yang menghidap strok, Roslina Yusuf, 57, dari tingkat empat kediaman mereka di Meru, Kapar untuk bersama-sama berniaga di Pasar Malam Pantai Dalam, Kuala Lumpur.Susulan itu, beliau turun padang menziarahi keluarga itu dan membawa doktor dari rangkaian klinik usahawan Mara iaitu UnI Klinik dan UnI Farmasi bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap pasangan suami isteri berkenaan.Difahamkan, Ah Yauddin turut menghidap penyakit buah pinggang tahap empat.Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, anak perempuan pasangan itu meluahkan hasrat menyambung pengajian, namun berasa bimbang keadaan mereka memandangkan dia sentiasa membantu menguruskan ibunya yang uzur selain membantu bapanya berniaga."Saya percaya hanya ilmu dan kemahiran boleh mengubah kehidupan. Tidak selamanya kita perlu bergantung kepada sumbangan orang ramai atau zakat," ujarnya.Jelas beliau, disebabkan itu, Mara terdorong membantu dengan memberikan 'kail' dan melatih mereka supaya mampu berdikari berbanding hanya memberikan 'ikan' yang hanya bertahan seketika.