Bebas dari Penjara Narathiwat: Eda Ezrin, suami dan 4 rakan akan dirakam keterangan

KUALA LUMPUR - Penyanyi wanita Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail bersama suami dan empat rakannya akan dipanggil untuk dirakam keterangan pada Khamis selepas dibebaskan dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat di sini.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan berkenaan akan dijalankan oleh JSJN Kelantan."Kesemua individu berkenaan akan dirakam keterangan, selain sampel air kencing turut diambil untuk saringan."Pembebasan kesemua individu ini telah dimaklumkan oleh pihak polis Thailand kepada PDRM," katanya pada Rabu.Katanya, proses rakaman keterangan itu akan dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada Khamis.Terdahulu, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat di sini pada Rabu.Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam pada Rabu.Difahamkan, Mahkamah Wilayah Narathiwat sekarang ini sedang menguruskan surat pembebasan mereka sebelum diserahkan kepada pihak penjara.Setakat jam 5 petang waktu tempatan dimaklumkan beberapa pegawai imigresen sudah berada di penjara untuk mengiringi mereka ke sempadan Sungai Golok.Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan terlepas daripada penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding sebutan semula kes tersebut pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.