Cuaca panas: 46 kes direkod, Nadma perketat pemantauan elak strok haba

SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya enam kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 46 kes sejak Januari 2025.Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, sebanyak 42 kes melibatkan kelesuan haba manakala empat lagi kes adalah strok haba yang berpunca daripada aktiviti fizikal berlebihan."Daripada jumlah itu, 23 kes melibatkan golongan dewasa, 22 kes remaja dan satu warga emas. Semua pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar dari pusat rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Beliau turut memaklumkan, tiada sebarang kematian dilaporkan berkaitan cuaca panas bagi tahun ini setakat ini.Selangor mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 12 kes, diikuti Perak (7), Sabah (6), Melaka dan Johor (masing-masing 5), Terengganu (4), Negeri Sembilan (3) serta Pahang dan Kedah dengan dua kes setiap negeri.Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan surat peringatan agar semua institusi pendidikan di bawahnya mematuhi garis panduan operasi ketika cuaca panas.Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut meningkatkan rondaan serta pemantauan secara intensif di kawasan berisiko tinggi berlakunya kebakaran seperti tanah gambut, ladang terbiar, kawasan semak samun dan tapak pelupusan sampah."Langkah ini adalah inisiatif strategik bagi memperkukuhkan penguatkuasaan dan membendung aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan jerebu," jelas Abdul Halim.