JOHOR BAHRU – Seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Johor dalam Ops Selera di sebuah premis makanan di Bandar Baru Permas Jaya pada Isnin.Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang dijalankan hasil maklumat awam itu turut memeriksa seramai 63 individu."Hasil pemeriksaan, 27 individu ditahan membabitkan lapan lelaki dan lapan perempuan warganegara Indonesia serta lima lelaki dan enam perempuan warganegara Myanmar. Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 50 tahun."Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik premis berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Menurut beliau, tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.Sementara itu, warga tempatan berkenaan pula ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi warga asing."Sebanyak tiga notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan bagi membantu siasatan."Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut," katanya.Beliau menegaskan agar orang ramai dan majikan tidak melindungi PATI atau menggaji mereka tanpa dokumen sah kerana tindakan tegas akan diambil."Majikan yang ingin menggaji pekerja asing dinasihatkan supaya berurusan terus dengan pejabat Imigresen bagi mendapatkan maklumat tepat dan mengelakkan diri daripada diperdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," tambahnya.