'Anak yang saya sayang hilang sekelip mata' - Ibu mangsa kemalangan maut

GURUN - Ibu kepada mangsa kemalangan maut, tidak dapat membayangkan kembali situasi di mana dirinya 'menyambut' anak dalam keadaan sawan ketika tiba di Hospital Yan sejurus kejadian.Norliza Mohd Salleh, 44, yang juga merupakan seorang jururawat menceritakan ketika itu, dia baharu sahaja masuk kerja shif malam, 28 Julai lalu."Saya tunggu di kecemasan dan apabila kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sampai, sebaik buka pintu, luluh hati saya lihat anak dalam keadaan tidak sedar," katanya.Menurutnya, keadaan fizikal anaknya tiada kesan luka namun pemeriksaan doktor mendapati Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16, parah di kepala."Memang terlalu sedih...anak yang saya sayang hilang sekelip mata," katanya.Dalam kejadian terbabit, Muhammad Nur Iman terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dipandu anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di lampu isyarat pekan Guar Chempedak.Siasatan awal dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, anggota terbabit dari arah Jenun ke Yan tidak berhenti di lampu isyarat merah menyebabkannya berlanggar dengan Muhammad Nur Iman yang datang dari arah Alor Setar ke Gurun.Remaja itu kemudian dilaporkan meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.Norliza ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Gurun pada Rabu ketika mengikuti pertuduhan ke atas Koperal Azhar Mat Saini, 52, yang didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Muhammad Nur Iman Danial.Dalam pada itu, Norliza menjelaskan, tidak sanggup melihat rakaman video CCTV yang tular membabitkan anaknya.Sementara itu, bapa kepada Muhammad Nur Iman, Mohd Roshidi Alias, 44, berkata, telah bercadang untuk melantik peguam pemerhati bagi pihak keluarga."Kami akan ikut setiap perkembangan kes ini malah kami rancang lantik peguam."Saya anggap ini (pertuduhan di mahkamah) adalah permulaan bagi keadilan buat anak saya," ujarnya.