Yayasan Taqwa MAIWP sumbang komputer riba, wang tunai kepada Muhammad Haziq Hakimi

KUALA LUMPUR - Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan sumbangan bantuan bernilai RM3,500 bagi membantu pelajar, Muhammad Haziq Hakimi Afzal, 18 dalam menyambung pengajian di luar negara.Kisah Muhammad Haziq Hakimi mula mendapat perhatian susulan keputusannya yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat tawaran menyambung pengajian di Jordan, meskipun hidup sebatang kara selepas kehilangan kedua ibu bapanya.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sumbangan tersebut merangkumi pemberian komputer riba bernilai RM3,000 dan bantuan tunai sebanyak RM500.Ujar beliau, pihaknya juga akan memikirkan inisiatif lain bagi membantu Muhammad Haziq Hakimi dalam pembelajarannya."Kita harap sumbangan komputer riba ini dapat memberi manfaat kepada Muhammad Haziq Hakimi untuk tujuan pengajian."Dalam masa sama kita juga memberikan sumbangan tunai RM500 untuk perbelanjaan dia. Insya-ALLAH kita akan fikirkan juga bantuan lain yang boleh kita salurkan pada kemudian hari," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.Muhammad Haziq Hakimi dilihat hadir bersama ibu saudaranya, Tumijah Afandi, 57 dan sepupunya, Muhammad Faiz Izzuddin Mohammad,19.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan ayah Muhammad Haziq Hakimi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggal dunia akibat penyakit kaki gajah ketika anak tunggal itu baru berusia sembilan tahun.Pada 24 Julai tahun lalu, dia sekali lagi diuji apabila emaknya pula menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi penyakit jantung.Muhammad Haziq Hakimi yang kini meneruskan hidup sebatang kara tidak sempat berkongsi kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dan baharu saja menerima tawaran menyambung pengajian di Universiti Jordan dalam jurusan Pengajian Islam.Menurut Mohd Na’im, Muhammad Haziq Hakimi turut mendapat bantuan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi program Young Talent Development Program (YTP).Tambah beliau, ketabahan dan kecekalan Muhammad Haziq Hakimi dalam mendepani ujian dunia boleh dijadikan sebagai contoh terbaik buat masyarakat negara ini."Kalau kita tengok, bukan Muhammad Haziq Hakimi sahaja, Nabi Muhammad SAW juga anak yatim piatu tetapi Baginda berjaya menjadi pemimpin dunia dan orang yang paling ALLAH sayangi."Saya ambil kesempatan ini untuk mengajak semua khususnya anak-anak belia di luar sana untuk mengambil pengajaran daripada Muhammad Haziq Hakimi supaya tanam semangat dengan baik untuk menjadi pelajar yang cemerlang," ujarnya.