Maklumat, gambar pelajar tular berkaitan kes Zara Qairina tidak sahih - KPN

SHAH ALAM - Penyebaran maklumat serta gambar pelajar yang dikaitkan dengan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang telah dimuat naik di media sosial baru-baru ini disahkan tidak tepat.Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya telah mengesan penyebaran maklumat berkenaan yang dikongsi oleh pihak tertentu di media sosial.Beliau berkata, maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam."Tindakan sebegini bukan sahaja boleh menjejaskan perjalanan siasatan yang sedang berlangsung, malah berupaya mengganggu keadilan kepada semua pihak."Untuk makluman, segala proses siasatan termasuk isu bedah siasat (post-mortem) dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Katanya, semua pihak dinasihatkan menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih, termasuk pendedahan maklumat berkaitan siasatan kes ini."Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang antaranya Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 melibatkan larangan mendedahkan maklumat identiti, alamat, nama sekolah, dan gambar kanak-kanak yang terlibat."Selain itu, perbuatan terbabit turut menjadi kesalahan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan berkaitan pendedahan maklumat; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya.Menurutnya, PDRM menasihatkan bahawa pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara."Sehubungan itu, sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan sedia ada."PDRM kekal komited untuk memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara demi kepentingan bersama," katanya.Terdahulu, beberapa hantaran melibatkan gambar dan maklumat kanak-kanak didakwa berkaitan kes Zara Qairina tular di beberapa platform media sosial.