Kes dirogol bapa kandung: Rumah bukan lagi tempat selamat

DERITA seorang remaja perempuan yang menjadi mangsa pemuas nafsu bapanya sejak 10 tahun lalu akhirnya terbongkar apabila dia menceritakan perbuatan terkutuk itu kepada ibunya pada Sabtu lalu.Mangsa yang kini berusia 18 tahun dan bekerja sebagai jurujual dipercayai telah dirogol oleh bapanya yang bekerja sebagai mekanik sejak dia berusia lapan tahun lagi.Menurut sumber, mangsa yang merupakan anak sulung daripada enam beradik mendakwa terpaksa merahsiakan perbuatan jijik tersebut sejak sekian lama kerana diugut oleh suspek yang mengancam untuk memukulnya serta merogol adik-adiknya yang lain.Kes rogol membabitkan bapa kandung terhadap anak perempuan sendiri ini merupakan satu tragedi yang amat membimbangkan dan menyayat hati.Ia bukan sekadar jenayah seksual tetapi satu pengkhianatan terhadap kepercayaan paling asas dalam institusi keluarga.Lebih membimbangkan, penderaan seksual sejak usia kanak-kanak boleh meninggalkan kesan trauma jangka panjang. Mangsa berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental serius seperti kemurungan, keresahan melampau serta gangguan stres pasca-trauma (PTSD) yang berpanjangan.Untuk menangani isu seperti ini, penguatkuasaan undang-undang dan tindakan proaktif daripada pihak berkuasa adalah amat penting.Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak tegas dan segera. Siasatan menyeluruh mesti dijalankan dan suspek wajib didakwa di bawah peruntukan undang-undang yang relevan seperti Kanun Keseksaan.Hukuman berat perlu dikenakan demi memberikan keadilan kepada mangsa serta sebagai pengajaran kepada masyarakat.Kerajaan juga perlu mempergiat kempen kesedaran berkaitan penderaan seksual dalam keluarga.Pendidikan mengenai bahaya, tanda-tanda awal serta cara melaporkan kejadian penderaan mesti disebarkan secara menyeluruh bagi memecahkan budaya diam dan menormalisasikan tindakan melaporkan jenayah tanpa rasa takut atau malu.Kes ini menjadi peringatan pahit bahawa jenayah seksual boleh berlaku di tempat yang sepatutnya paling selamat dalam rumah sendiri.Dengan penguatkuasaan undang-undang yang cekap, perlindungan menyeluruh terhadap mangsa dan kesedaran masyarakat yang tinggi, kita harus bersama-sama berusaha untuk mencegah tragedi serupa daripada terus berlaku.Pada masa sama, mangsa penderaan seksual wajib dibela dan disokong agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih bermaruah dan bermakna.