Justin tak perlu terburu-buru jadi juara - James

BEKAS Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj menegaskan pemain muda negara, Justin Hoh perlu mengekalkan prestasi konsisten selepas kejayaan mara ke final kejohanan badminton Terbuka Macau bertaraf Super 300 baru-baru ini.Menurut James, pencapaian tersebut membuktikan bahawa pemain berusia 21 tahun itu mempunyai potensi besar untuk melangkah lebih jauh dalam kariernya."Ini pencapaian yang baik untuk membina keyakinan diri. Dia sudah buktikan boleh ke final, tetapi kini cabaran sebenar adalah untuk kekalkan prestasi."Kalau dia hilang keyakinan, sukar untuk naik semula," katanya kepada Sukan Sinar.Jelas beliau, kecergasan fizikal dan kekuatan mental memainkan peranan penting dalam menghadapi lawan yang lebih mencabar di peringkat lebih tinggi."Dalam final tempoh hari, Justin belum cukup bertenaga untuk menamatkan perlawanan menentang pemain Indonesia."Dia perlu melatih diri lebih kuat, berganda daripada biasa, untuk buktikan dirinya boleh jadi juara," katanya.Tambah James yang juga bekas pemain perseorangan negara itu, perkembangan karier Justin perlu dilakukan secara berperingkat, bermula dengan kejohanan Super 300 sebelum naik ke Super 500, 750 dan seterusnya 1000."Kita tak boleh terlalu cepat hantar dia ke kejohanan bertaraf tinggi kerana bimbang mentalnya terganggu jika gagal."Lebih baik langkah demi langkah. Kalau dia capai final Super 300, barulah naik ke Super 500 dan begitu seterusnya," katanya.Dalam masa sama, James menekankan Justin perlu memanfaatkan setiap kejohanan yang disertai bukan sekadar sebagai medan bertanding tetapi juga untuk menambah pengalaman serta membina keyakinan diri."Konsistensi itu kunci. Kalau dia kekal fokus, bermotivasi dan bekerja keras, saya percaya dia boleh jadi antara pemain handalan dunia satu hari nanti," katanya.