Cadangan supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat salah laku dalam kalangan penjawat awam mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat.Langkah itu dilihat mampu menjadi pemangkin kepada budaya melaporkan salah laku, khususnya dalam jabatan kerajaan.Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat pemberian insentif berbentuk wang boleh membuka ruang kepada laporan palsu dan melunturkan nilai keikhlasan.Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor mencadangkan supaya kerajaan menyalurkan ganjaran antara RM1,000 hingga RM2,000 secara rahsia kepada mana-mana pemberi maklumat yang berjaya mendedahkan salah laku dalam jabatan masing-masing.Walaupun cadangan itu dilihat membawa manfaat, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan rakyat apabila ada yang menyokong manakala sebahagian lagi membangkitkan kebimbangan berkaitan implikasinya.Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly yang menyokong cadangan itu berkata, dorongan moral semata-mata tidak lagi mencukupi dalam sistem pentadbiran yang masih sarat dengan ketakutan, tekanan serta budaya tutup mulut.Menurutnya, dalam persekitaran birokrasi yang berstruktur, ganjaran berpatutan boleh menjadi pemangkin kepada keberanian, seterusnya menggalakkan budaya pelaporan yang sihat dan bertanggungjawab."Pendekatan itu selari dengan semangat pembaharuan iaitu usaha memperbaharui sistem ke arah membina budaya integriti menerusi pendekatan yang realistik dan praktikal, bukan semata-mata idealistik."Bagaimanapun, pelaksanaan cadangan itu mestilah disertakan dengan mekanisme pemantauan telus," katanya.Justeru, beliau berkata, pemberian ganjaran mestilah bersyarat, hanya diberikan setelah maklumat terbukti benar melalui siasatan bebas dan adil."Proses pemberian ganjaran juga perlu dilakukan secara sulit bagi mengelakkan budaya menunjuk-nunjuk atau penyalahgunaan sistem," jelasnya.Nada sama turut disuarakan usahawan, Nordiani Abd Rahman, 39, menyifatkan pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat menyumbang kepada integriti sistem dengan mencegah kerugian besar kepada negara dan masyarakat.Katanya, langkah itu mampu mendorong lebih ramai individu, khususnya yang berada dalam agensi kerajaan, tampil membongkar penyelewengan, salah guna kuasa dan ketirisan yang mungkin berlaku dalam organisasi mereka."Ganjaran menjadi insentif yang bukan sahaja menghargai keberanian pemberi maklumat, malah memberi dorongan moral kepada mereka yang selama ini berdepan dilema antara tanggungjawab dan tekanan persekitaran."Lebih penting, tindakan itu membantu mencegah kebocoran dana awam yang sepatutnya digunakan untuk manfaat rakyat," ujarnya.Nordiani berkata, maklumat tepat dan pantas daripada orang dalam boleh mempercepatkan siasatan pihak berkuasa, sekali gus menghentikan kerugian wang negara.Bagaimanapun, jelasnya, identiti pemberi maklumat perlu dilindungi dengan memperkukuh perlindungan undang-undang dan keselamatan bagi mengelakkan ancaman atau diskriminasi terhadap mereka.Sementara itu, Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berpandangan ganjaran tunai boleh mendorong kepada laporan palsu, sabotaj dalaman atau manipulasi maklumat demi mendapatkan wang, walaupun cadangan itu menarik dan berasaskan niat yang baik iaitu membanteras rasuah dan salah guna kuasa.Menurutnya, ia berisiko mencetuskan budaya bounty hunting dan menjejaskan keharmonian organisasi."Dalam etika perkhidmatan awam Malaysia, keberanian melaporkan salah laku dianggap sebagai tanggungjawab integriti dan bukannya transaksi berasaskan insentif."Pemberian ganjaran mungkin dilihat menjejaskan nilai moral penjawat awam sebagai pemegang amanah rakyat yang sepatutnya bertindak atas dasar prinsip, bukan imbalan.Beliau berkata, cadangan ganjaran tunai kepada penjawat awam yang melaporkan salah laku boleh menjadi pedang bermata dua."Walaupun niatnya baik, pelaksanaan tanpa kawalan boleh membawa implikasi negatif terhadap budaya kerja sektor awam."Malaysia perlu mengekalkan prinsip integriti sebagai teras perkhidmatan awam, sambil memperkukuh sistem perlindungan, pengiktirafan dan penglibatan etika dalam membanteras rasuah dan salah laku," katanya.Bagi Pegawai Perhubungan Awam, Noor Yasmin Farahanim Abd Wahab, 38, pula berkata, cadangan pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat mungkin kelihatan wajar pada pandangan awal, namun hakikatnya ia boleh menghakis nilai keikhlasan dan integriti dalam masyarakat, khususnya dalam konteks melaporkan salah laku.Jelasnya, apabila pemberian ganjaran dijadikan norma, pelaporan salah laku berisiko menjadi satu urusan ada upah baru lapor, maka ia bukan lagi atas kesedaran sivik atau nilai-nilai murni."Masyarakat yang terbiasa dengan budaya ganjaran akan kurang terdorong untuk melakukan kebaikan tanpa imbuhan."Dalam Islam dan juga prinsip moral sejagat, melaporkan keburukan demi melindungi masyarakat adalah tanggungjawab bersama, bukan tugas yang menanti balasan duniawi," katanya.Selain itu, beliau berkata, individu yang melapor dengan niat murni mungkin merasa tidak adil apabila yang mengejar ganjaran mendapat lebih perhatian atau pujian.Tambahnya, ganjaran mungkin tampak sebagai motivasi, namun integriti sebenar adalah sesuatu yang perlu tertanam dalam hati kerana ia tidak boleh dibeli atau dijanjikan.