Bapa didakwa bunuh, tanam anak usia enam tahun

JELEBU - Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia enam tahun, bulan lalu.Tertuduh M Arunkumar, 36, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas anak lelakinya A Tishant yang berusia enam tahun.Kesalahan itu dilakukan pada 23 Julai 2025 antara jam 9.02 pagi hingga jam 12.55 tengah hari di tepi jalan Kilometer 25 Jalan Rompin, Bahau daerah Jempol.Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh untuk sebutan bagi laporan bedah siasat.Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Seremban, pada 10 September depan.Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, pada 24 Julai lalu, ditemukan ditanam di kawasan Rompin, Jempol.Susulan penemuan itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.Difahamkan, suspek sebelum ini membuat laporan polis dengan mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan di dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.Hasil bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak lelaki itu mendapati mangsa maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.