Melaka FC siap sedia harungi saingan Liga Super - K. Devan

MELAKA FC kini bersedia sepenuhnya mengharungi saingan Liga Super 2025/2026 meskipun tampil selaku pendatang baharu, sekali gus membawa status pasukan ‘underdog’. Ketua jurulatihnya K. Devan berkata gabungan pemain sedia ada, muka baharu tempatan dan tujuh pemain import diyakini mampu membentuk skuad kompetitif dalam kancah liga utama negara ini. “Kami mengekalkan antara 50 hingga 55 peratus pemain dari skuad Liga A1 sebelum ini, selain membawa masuk sembilan pemain tempatan baharu serta tujuh import. “Dengan hampir keseluruhan skuad berwajah baharu, tumpuan kini diberikan kepada pemahaman taktikal dan pembentukan keserasian dalam kalangan pemain,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Melaka FC di Ayer Keroh, hari ini. Menurut Devan, persiapan pasukan bermula sejak Jun lalu dengan mengharungi lapan perlawanan persahabatan pramusim walaupun tanpa kehadiran pemain import ketika itu. Mengulas sasaran pasukan, pengendali berusia 64 tahun itu berkata Melaka FC menyasarkan kedudukan pertengahan liga sebagai langkah realistik menghadapi kelab gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur City dan Sabah. “Sebagai pasukan yang baru dinaikkan dari Liga A1, kami perlu bersikap realistik. Sasaran pertengahan liga adalah pencapaian yang baik dalam musim sulung kami di Liga Super,” katanya. Mengulas aksi sulung menentang Penang FC di Stadium Hang Jebat pada 13 Ogos ini, Devan optimis pasukannya berpeluang mengutip tiga mata di laman sendiri. “Kami mahu bermula dengan positif di laman sendiri dan memberikan keyakinan awal kepada pasukan serta penyokong. Walaupun Penang berpengalaman, kami sudah bersedia untuk memberikan tentangan,” katanya. Antara pemain import yang menyertai Melaka FC musim ini termasuk pemain yang dikekalkan, Michael Ozor, serta enam muka baharu — Juan Douglas, Patrick Gama, Anderson Brito, Vitor Carvalho, Charles Ralph dan Florencio Badelic Jr - BERNAMA