Belanjawan 2026: Semikonduktor, tenaga hijau dan ekonomi Islam jadi pemacu utama

PUTRAJAYA – Tiga sektor strategik iaitu industri semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam akan terus diberi keutamaan dalam Belanjawan Madani 2026 sebagai pemacu kepada daya saing negara.Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi itu akan disokong melalui langkah-langkah yang berteraskan prinsip tatakelola baik dalam pentadbiran negara."Dalam meningkatkan daya saing negara, sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi akan terus disokong, terutamanya melibatkan industri semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam."Saya yakin wakil industri ramai yang hadir hari ini dapat mengemukakan cadangan bernas," katanya.Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada pembukaan Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan di sini pada Khamis.Dalam masa sama, Amir Hamzah menjelaskan kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha menaikkan lantai, khususnya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam kepada rakyat.Perkara ini selari dengan agenda Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang menekankan reformasi dalam bidang pendidikan dan kesihatan," katanya.Beliau yang juga merangkap Menteri Ekonomi menegaskan bahawa peningkatan pendapatan rakyat dan usaha meringankan tekanan kos sara hidup akan terus menjadi keutamaan kerajaan dalam penyediaan Belanjawan 2026.Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan kekal komited dipimpin dengan prinsip tatakelola baik, termasuk dalam mempercepat dan mempermudah urusan perniagaan di negara ini."Soal bagaimana kerajaan boleh memantapkan lagi perkhidmatan bagi mempercepat dan mempermudah urusan perniagaan memerlukan cadangan dan pandangan daripada tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada hari ini," katanya.Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penglibatan aktif semua pihak dalam memberikan maklum balas yang akan menjadi asas penting kepada pembentukan Belanjawan Madani Keempat."Saya berharap sesi hari ini menjadi medan strategik untuk kita bersama-sama mencorak hala tuju masa hadapan negara dengan merumuskan input yang bernas demi merangka Belanjawan 2026 yang berimpak tinggi ke arah membangunkan Malaysia secara menyeluruh," ujar beliau.Amir Hamzah turut mempelawa semua yang hadir serta seluruh rakyat Malaysia untuk mengemukakan cadangan melalui Portal Cadangan Belanjawan 2026 di laman web Kementerian Kewangan.Pembentangan Belanjawan 2026 dijadual pada 10 Oktober depan. Menurut takwim Parlimen, Belanjawan 2026 akan dibentang di Dewan Rakyat dengan pendekatan pragmatik yang menangani cabaran semasa dan ketidaktentuan geopolitik.