KUANTAN – Niat seorang peniaga wanita untuk menambah bekalan jualan berakhir dengan duka apabila wang simpanannya bersama suami hampir RM200,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian.Kejadian dipercayai bermula pada Ahad apabila mangsa berusia 50 tahun itu memuat turun satu fail aplikasi Android Package Kit (APK) mencurigakan yang diperoleh melalui iklan borong buah di laman sosial Facebook.Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, mangsa menghubungi suspek melalui nombor telefon yang dipaparkan dalam iklan tersebut."Mangsa kemudian diminta memuat turun satu fail APK dan mengisi maklumat peribadi kononnya bagi tujuan penghantaran buah, dengan bayaran secara tunai semasa penghantaran (COD) sebanyak RM141.60."Namun, pada Rabu mangsa menerima makluman daripada pihak bank mengenai beberapa transaksi mencurigakan yang berlaku dalam akaun miliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Kim Wai berkata, hasil siasatan mendapati sebanyak 11 transaksi berjumlah RM109,991.80 telah dilakukan daripada akaun peribadi mangsa ke tujuh akaun bank berbeza.Jelasnya, satu lagi akaun bersama milik mangsa dengan suami turut terjejas apabila berlaku sembilan transaksi berjumlah RM89,996.90."Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah sebanyak RM199,988.74 dan wang berkenaan merupakan simpanan peribadi pasangan suami isteri itu," katanya.Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah percaya terhadap sebarang tawaran mencurigakan yang diterima melalui media sosial."Elak memuat turun fail atau aplikasi daripada sumber tidak sah dan jangan sekali-kali mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada individu yang tidak dikenali," katanya.Kim Wai turut menyaran orang awam supaya menyemak terlebih dahulu nombor akaun atau nombor telefon yang meragukan melalui laman sesawang rasmi https://semakmule.rmp.gov.my."Sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan, segera hubungi pusat respons scam kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk tindakan segera," katanya.