Remaja bawah umur selamba bawa motor tak pakai topi keledar, tiada cermin sisi

PASIR PUTEH – Menunggang motosikal tanpa topi keledar, tiada cermin sisi dan masih di bawah umur 16 tahun antara kesalahan dikesan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar Sungai Gali, Gong Datok di sini pada Rabu.Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, dalam operasi yang diadakan pada jam 6.30 petang itu pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 208 saman atas pelbagai kesalahan trafik."Sebanyak 55 buah motosikal turut ditahan manakala 13 daripadanya disita untuk pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987."Antara kesalahan lain termasuk tiada lesen memandu serta mengubahuasai struktur kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Menurut beliau, operasi khas itu melibatkan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh membabitkan 24 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Balai Polis Pasir Puteh.Ujarnya, BSPT IPD Pasir Puteh akan terus menjalankan operasi secara berterusan di beberapa lokasi panas sekitar daerah ini bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan lumba haram."Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti menunggang secara berbahaya dan mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan semua," katanya.