Farizal terjun ke dunia penyiaran sukan

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.Peribahasa ini cukup tepat untuk menggambarkan perjalanan baharu bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias yang bakal membuka lembaran berbeza dalam kariernya apabila menceburi bidang baharu sebagai penganalisis atau pengulas bola sepak.Pada usia 39 tahun, Farizal kini menyertai barisan penyiar sukan Astro untuk musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) bagi menyumbang kepakarannya dari studio dengan menganalisis perlawanan serta berkongsi pandangan bersama penonton setia bola sepak tanah air.Menurut Farizal, tawaran tersebut pada mulanya mengundang rasa ragu dalam dirinya.Namun, selepas mengambil masa lebih seminggu untuk berfikir dan berbincang bersama keluarga, beliau akhirnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka."Saya terima kerana ia masih dalam dunia bola sepak, itu sahaja. Kalau bidang lain, saya mungkin tidak akan setuju kerana bola sepak adalah bidang saya sejak dahulu," katanya.Cabaran baharuFarizal turut menyifatkan peranan baharunya ini sebagai satu cabaran berbeza, namun memberi ruang untuk beliau menimba pengalaman lebih luas, bukan sahaja dalam aspek teknikal bola sepak tetapi juga dalam dunia penyiaran.Selain Farizal, Astro turut mengukuhkan pasukan penyiarannya dengan penyertaan bekas penyerang prolifik negara era 2000-an, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.Kehadiran dua figura berpengalaman itu bakal melengkapkan barisan pengulas sedia ada seperti Zaquan Adha Abd Radzak, Safee Sali, Razman Roslan, Nizaruddin Yusof, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan Datuk Zainal Abidin Hassan.Mengulas cabaran yang dihadapi, bekas penjaga gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengakui bukan mudah untuk menyesuaikan diri di hadapan kamera, terutamanya dalam siaran langsung."Sebelum ini saya hanya ditemubual untuk tempoh singkat selepas perlawanan."Kini, ia memerlukan saya bercakap lebih panjang dan mendalam, menyampaikan pandangan dengan yakin secara langsung."Saya anggap ini satu cabaran baharu dan saya cabar diri untuk menghadapinya," katanya. GementarFarizal juga tidak menafikan rasa gemuruh menjelang penampilan pertamanya sebagai pengulas bola sepak."Main bola pun kadang-kadang rasa gementar. Inikan pula di depan kamera."Saya pun tak tahu bagaimana perasaannya nanti. Mungkin selepas satu atau dua siaran, barulah saya akan lebih selesa," katanya jujur.Bagi membuat persiapan, anak kelahiran Maran, Pahang itu turut mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan pemain yang pernah terlibat dalam bidang penyiaran."Apabila diberi peluang menjadi pengulas, mereka inilah individu yang saya rujuk untuk mendapatkan panduan dan nasihat."Antara yang mereka pesan kepada saya ialah supaya terus pandang ke hadapan dan yakin di depan kamera," jelasnya.Sedia berdepan kritikanDalam pada itu, Farizal tidak menafikan bahawa kerjaya sebagai pengulas atau penganalisis bola sepak turut terdedah kepada perhatian dan penilaian umum, sama seperti ketika beliau bergelar pemain profesional dahulu.Beliau sedar bahawa setiap ulasan yang disampaikan berkemungkinan menimbulkan pelbagai reaksi termasuk kritikan daripada penyokong mahupun pemerhati sukan yang mempunyai pandangan berbeza.Namun baginya, kritikan adalah lumrah dalam dunia sukan, sama ada di atas padang atau di hadapan kamera.Apa yang lebih penting katanya adalah keikhlasan dalam menyampaikan pandangan serta kesediaan untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dalam peranan baharu ini."Ketika menjadi pemain pun saya biasa dikritik. Kini sebagai penganalisis, saya juga tidak terkecuali."Apa yang penting, saya fikir positif dan mahu berkongsi pengalaman dengan penonton," kata Farizal.Untuk makluman, Astro kembali sebagai penyiar rasmi Liga-M bagi musim 2025-2026 untuk tahun ketiga berturut-turut, menawarkan pengalaman tontonan lebih segar dan dekat menerusi saluran Arena Bola (803 dan 804) serta platform penstriman Sooka.Sebanyak 229 perlawanan bakal disiarkan secara langsung dalam definisi tinggi (HD), membolehkan peminat menyaksikan setiap jaringan, detik dramatik dan aksi terbaik sama ada dari rumah, stadium mahupun di hujung jari menerusi pek Astro One dan Sooka.