Tiada masa alasan tidak perbaharui cukai jalan, ambil lesen memandu

SHAH ALAM - Terlupa selain mendakwa kononnya tiada masa antara alasan diberi seorang lelaki yang ditahan selepas kenderaan dipandu didapati telah tamat tempoh cukai jalan sejak setahun lalu dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Kota Kemuning di sini.Individu berumur 30-an itu mulanya mendakwa kenderaan dipandunya itu milik rakannya selain tidak tahu kenderaan terbabit telah tamat tempoh cukai jalan.Bagaimanapun helahnya itu gagal apabila semakan dilakukan mendapati dia merupakan pemilik sebenar kenderaan berkenaan.Masa sama individu terbabit turut didapati tidak memiliki lesen memandu selain mendakwa tidak mempunyai masa untuk mengambilnya.Dalam operasi sama, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang didakwa baru dibeli sejak tiga bulan lalu turut didapati telah tamat tempoh cukai jalan.Pemandu MPV terbabit yang juga berusia sekitar 20-an itu mendakwa kenderaan berkenaan dibeli daripada seorang kenalannya dengan cara sambung bayar.Individu itu turut mendakwa MPV itu memiliki beberapa saman tertunggak mengakibatkan cukai jalannya tidak dapat diperbaharui.Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata, sebanyak 25,338 kesalahan dikesan antara tempoh Januari sehingga Julai ini melibatkan cukai jalan tamat tempoh."Motosikal merekodkan bilangan tertinggi dengan 8,534 diikuti kereta (7,879), kenderaan berat kurang daripada 7,500 kilogram (4,343) dan kenderaan berat lebih daripada 7,500 kilogram (4,157)."Selain itu, statistik turut mencatatkan kenderaan perkhidmatan awam merekodkan sebanyak 425 untuk kesalahan sama," katanya ketika sidang akhbar di lokasi operasi pada Rabu.Katanya, kesalahan melibatkan tidak memiliki lesen memandu kompeten (CDL) merekodkan sebanyak 16,735 kes bagi tempoh sama."Untuk kesalahan ini, penunggang motosikal turut mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 6,596 kes diikuti pemandu kenderaan berat kurang daripada 7,500 kilogram (3,676) dan pemandu kenderaan berat lebih daripada 7,500 kilogram (3,440)."Statistik kesalahan sama diikuti pemandu kereta (2,576) dan pemandu perkhidmatan awam sebanyak 447," katanya.Menurutnya, untuk kedua-dua kesalahan ini tindakan dijalankan di bawah Seksyen 90(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 23 (1) akta sama."Siasatan mendapati kebanyakan individu yang didapati melakukan kesalahan ini mendakwa kononnya disebabkan kesibukan kerja selain tiada masa."Selain itu, sebanyak empat kereta dan empat motosikal turut disita dalam operasi ini," katanya.Azrin berkata, pihaknya komited dalam mendokong hasrat kerajaan bagi mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat."Perlu diingatkan bahawa tujuan utama adalah JPJ mahu pematuhan terhadap penguatkuasaan undang-undang yanglebih berkesan selain mengurangkan kadar kemalangan jalan raya menerusi operasi dijalankan ini."Pengguna turut diingatkan agar sentiasa peka, bertolak ansur, bertimbang rasa selain sentiasa mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan," katanya.